Sultan Selangor tunai solat Aidiladha bersama 15,000 jemaah

Sultan Selangor tunai solat Aidiladha bersama 15,000 jemaah

SULTAN Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Amir Shah berkenan bermesra dan bersalaman dengan para jemaah selepas menunaikan solat sunat Aidiladha dekat Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menunaikan solat sunat Aidiladha bersama 15,000 jemaah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Baginda tiba di masjid kira-kira pukul 7.20 pagi tadi bersama Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin serta Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah yang turut berangkat dan disambut oleh Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

Seusai solat sunat yang diimamkan oleh Datuk Muhammad Farhan Wijaya, jemaah kemudian diperdengarkan dengan khutbah bertajuk ‘Aiduladha: Iman dan Pengorbanan’ disampaikan oleh Mufti Selangor, Datuk Dr. Anhar Opir yang mengajak umat Islam supaya memahami erti usaha dan pengorbanan dalam ketaatan kepada Allah SWT.

“Umat Islam perlu menghayati kisah Nabi Ibrahim dan Ismail yang mengajar erti pengorbanan, keikhlasan dan ketaatan yang mampu melahirkan insan bertakwa serta bersatu hati.

“Setiap ibadah hendaklah dilaksanakan dengan ikhlas kerana Allah supaya dapat meraih rahmat dan kurnia-Nya selain memperoleh kesejahteraan hidup di dunia sertar akhirat,” katanya.

Sultan Sharafuddin dan Tengku Amir Shah kemudian berkenan bermesra dan bersalaman dengan para jemaah yang hadir sebelum berangkat ke Dewan Muzakarah untuk bersantap dengan tetamu.

Dalam pada itu, sebanyak 28 ekor lembu termasuk seekor lembu hasil sumbangan Sultan Sharafuddin dikorbankan dalam ibadah korban di pekarangan masjid berkenaan. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN