IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat menghadiri Majlis Santapan Malam sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan kali ke-55, di sini malam tadi.
Keberangkatan baginda diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim bersama Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.
Yang turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah.
Sementara itu, dalam sembah ucapannya Fadhlina berkata, dalam mendepani perubahan dunia yang begitu pantas, sistem pendidikan negara perlu bergerak seiring dengan keberanian dan pandangan jauh agar kekal relevan serta mampu memenuhi keperluan masa hadapan.
Beliau berkata, Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035 merupakan komitmen berterusan Kementerian Pendidikan untuk membawa sistem pendidikan negara ke tahap yang lebih baik dan lebih bersedia menghadapi cabaran baharu.
Menurutnya, pelan berkenaan memberi penekanan kepada penguasaan ilmu, pembinaan sahsiah, penguasaan teknologi baharu termasuk Kecerdasan Buatan (AI), serta pengukuhan dwibahasa.
“Melalui Kurikulum Persekolahan 2027 yang progresif, Bahasa Melayu dan Sejarah terus diperkukuh sebagai asas identiti bangsa, di samping memperluas akses pendidikan awal kanak-kanak seawal usia lima tahun,” katanya.
Tambah beliau, segala usaha itu digerakkan dengan tekad memastikan pendidikan negara kekal relevan dan progresif dalam mendepani cabaran semasa.
“Inisiatif berkenaan juga bertujuan membuka peluang pendidikan yang saksama kepada seluruh rakyat Malaysia agar cahaya ilmu terus menyinari masa depan bangsa,” katanya. – UTUSAN










