SHAH ALAM: Peserta program Talk To My Manager musim kedua (TTMM2), Viviana, mengakui berasa lega selepas akhirnya berkongsi pengalaman hitamnya sebagai mangsa buli di bangku sekolah yang didakwa hampir meragut nyawanya.
Viviana, 21, berkata, sejak insiden tersebut, dia mengalami trauma berpanjangan sehingga menjejaskan kualiti tidur dan sering terbayang semula kejadian yang meninggalkan kesan mendalam itu.
“Selepas bercerita, saya rasa sangat puas dan lega. Perkara ini sudah lama saya simpan dan saya takut untuk kongsikan.
“Bila sudah lama dipendam dan akhirnya dapat diluahkan, rasa macam ‘Ya Allah, lega sampai boleh tidur lena’. Kalau tidak, hampir setiap malam saya akan terfikir. Saya tidak akan pernah lupa kejadian yang hampir meragut nyawa saya itu,” katanya.
Viviana berkata demikian ketika ditemui pada konsert minggu kelima TTMM2, semalam.
Anak kepada penyanyi, Ani Mayuni itu turut mendedahkan, selepas melalui fasa kemurungan, dia pernah enggan bergaul dengan orang sekeliling sebelum perlahan-lahan bangkit dan kembali aktif, termasuk ketika melanjutkan pengajian di universiti.
“Rasa takut itu masih ada, tetapi alhamdulillah dengan sokongan keluarga dan rakan-rakan, apabila berada dalam persekitaran yang positif saya dapat melupakan seketika apa yang berlaku.
“Saya sertai pelbagai program di universiti untuk bergaul dengan orang supaya tidak terlalu menyendiri,” jelasnya.
Tambahnya, antara cabaran terbesar dihadapinya adalah isu kepercayaan terhadap orang lain selepas insiden tersebut.
“Saya sering tertanya-tanya kenapa orang mahu berkawan dengan saya. Tetapi saya cuba ketepikan perasaan itu dan berfikiran positif. Umi juga selalu menasihatkan saya bahawa tidak semua orang sama,” katanya.
Dalam pada itu, Viviana berkata, pendedahannya mengenai pengalaman menjadi mangsa buli turut membuka ruang kepada mangsa lain untuk tampil berkongsi kisah masing-masing.
“Kami sendiri terkejut apabila ada yang berkongsi kisah seperti adik mereka menjalani pembedahan pada lutut sehingga tidak lagi dapat bersukan.
“Ada juga yang koma, manakala individu yang terlibat sebagai pembuli masih aktif bermain bola jaring. Saya tidak sangka pengalaman orang lain lebih teruk,” katanya.
Terdahulu, Viviana mendedahkan dia pernah menjadi mangsa buli oleh beberapa pelajar senior, termasuk dipukul dan mulutnya dibungkam menggunakan objek.
Dia turut memberi bayangan bahawa insiden tersebut melibatkan beberapa pemain bola jaring ketika mengikuti latihan sukan di sekolah. – UTUSAN










