PETALING JAYA: Pemaju dan pengendali infrastruktur logistik pintar dari Taiwan, Ally Logistic Property (ALP) mengumumkan pembangunan OMEGA 2 Shah Alam yang melibatkan pelaburan kira-kira RM500 juta (AS$127 juta).
Projek itu merupakan kemudahan rantaian sejuk pintar binaan khas pertamanya di Malaysia, sekali gus menjadi projek OMEGA kedua syarikat itu di Lembah Klang yang disasarkan siap pada suku kedua 2028.
Terletak di selatan Shah Alam, Selangor, kemudahan berbilang tingkat seluas sembilan ekar itu bakal dilengkapi dengan Sistem Penyimpanan dan Pengambilan Automatik (AS/RS) yang menawarkan lebih 30,000 kedudukan palet.
Pengarah Urusan Ally Logistic Property Malaysia, Bryan Yeo berkata, pasaran infrastruktur rantai sejuk di negara ini masih belum diterokai sepenuhnya terutamanya daripada aspek automasi, kebolehskalaan dan kecekapan tenaga.
“OMEGA 2 Shah Alam direka untuk menangani jurang ini melalui penyelesaian rantai sejuk yang lebih pintar dan mampan bagi menyokong sektor makanan, farmaseutikal, peruncitan dan e-dagang.
“Kami percaya infrastruktur logistik termaju ini mampu menyumbang kepada aspirasi Malaysia untuk menjadi ekonomi berpendapatan tinggi dan berpacukan teknologi, selain menyokong matlamat ESG negara,” katanya dalam kenyataan.
Kemudahan itu direka berdasarkan model pelbagai penyewa yang menyepadukan zon penyimpanan keadaan persekitaran yang berhawa dingin, sejuk dan beku bagi mengurangkan pertindihan aset logistik serta merendahkan penggunaan tenaga secara keseluruhan.
Pembangunan ini juga selaras dengan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 yang menekankan kecekapan tenaga dan penggunaan teknologi termaju.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid memuji komitmen ALP dalam memacu agenda transformasi industri negara.
“Sebagai kemudahan rantai sejuk AS/RS berbilang tingkat pertama binaan pemaju di Malaysia, projek ini mencerminkan pelaburan bernilai tinggi yang diimpikan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) dan NIMP 2030,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Datuk Hasan Azhari berkata, pelaburan strategik daripada syarikat sedia masa hadapan seperti ALP amat bertepatan dengan visi Selangor untuk menjadi hab utama bagi industri bernilai tinggi. – UTUSAN










