PETALING JAYA: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong, hari ini dimasyhurkan sebagai Canselor Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) yang baharu.
Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu menggantikan Canselor terdahulu yang juga Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick.
Steven Sim berkata, UKKM bukan sahaja disasarkan menjadi antara sekolah perniagaan terbaik di negara ini malah berperanan melahirkan generasi baharu usahawan dan pemimpin koperasi.
“UKKM masih muda, namun usia ini adalah kekuatan kita. Kita ditubuhkan dalam era revolusi kecerdasan buatan (AI), justeru kita mempunyai peluang untuk membina sebuah universiti yang benar-benar relevan dengan dunia baharu.
“UKKM disasarkan untuk menjadi bukan sahaja antara sekolah perniagaan terbaik di Malaysia, malah sebuah AI-driven business school yang melahirkan generasi baharu usahawan, pemimpin koperasi dan penggerak ekonomi masa depan,” katanya dalam ucapan semasa Majlis Pemasyhuran Canselor dan Konvokesyen Kali Ke-2 UKKM di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.
Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan sijil kepada 26 graduan yang menamatkan pengajian dalam lima program akademik melibatkan Diploma Pengurusan Koperasi, Diploma Keusahawanan Koperasi, Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Pengurusan Koperasi), Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Kepimpinan Korporat) dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan.
Menurut Steven Sim, universiti itu juga perlu berpaksikan semangat gerakan koperasi yang diperjuangkan tokoh koperasi negara, Allahyarham Profesor Diraja Ungku Aziz, iaitu memajukan ekonomi rakyat, menjaga kebajikan serta memperkukuh perpaduan masyarakat.
Sementara itu, beliau berkata, gerakan koperasi di Malaysia telah mencatatkan perolehan hampir RM82 bilion setakat Disember tahun lalu, sekali gus membuktikan potensi besar sektor berkenaan dalam pembangunan ekonomi negara.-UTUSAN










