SNCC masih belum terima status aktivis GSF yang ditahan rejim Israel

SNCC masih belum terima status aktivis GSF yang ditahan rejim Israel

SANI Araby Abdul Alim lokasi terakhir kapal misi kemanusiaan yang dipintas oleh tentera laut rejim zionis Israel pada sidang akhbar perkembangan terkini misi GSF 2.0 ke Gaza di SNCC, Sepang. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) masih belum dapat mengesahkan status seramai 25 daripada 29 peserta rakyat Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotila (GSF) ke Gaza, setelah kapal yang dinaiki mereka dipintas tentera laut rejim Israel (IOF) sejak semalam ketika berada di perairan antarabangsa.

Ketua Pengarah SNCC, Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, sehingga kini, SNCC masih belum menerima sebarang pengesahan mengenai status kesemua aktivis yang ditahan, termasuk lokasi dan destinasi pemindahan mereka selepas insiden pemintasan itu berlaku.

“SNCC menerima laporan visual mengesahkan bahawa semua aktivis telah diculik keluar dari kapal masing-masing secara paksa ke empat kapal tentera pihak rejim.

“SNCC turut mengesahkan 15 kapal melibatkan 25 rakyat Malaysia terlibat dalam insiden haram ini,” katanya menerusi sidang akhbar di SNCC di sini hari ini.

Sani Araby berkata, sehingga pukul 3 petang hari ini, sebanyak 40 kapal flotila melibatkan hampir 350 aktivis kemanusiaan GSF dari pelbagai negara telah dipintas dan diceroboh oleh IOF.

Jelasnya, beberapa delegasi negara lain kendalian Sumud Nusantara turut ditahan melibatkan aktivis dari Pakistan, Sri Lanka dan Indonesia iaitu Abdul Sattar (kapal Zio Faster), Sameera (kapal Umut), Thoudy Badai, Heru Rahendro dan Andre Prasetyo (apal Ozgurluk), serta Bambang Noroyono (kapal Bolarize) dan Andi Anga Prasadewa (kapal Josef).

Setakat semalam, seramai 24 peserta rakyat Malaysia yang menyertai misi GSF telah ditahan rejim Israel yang mana Razman Mat Ali yang menaiki kapal Azur merupakan peserta terbaharu ditahan rejim Israel awal pagi tadi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN