Sekretariat Konvensyen PH jalankan siasatan dakwaan petugas media dikasari - Utusan Malaysia

Sekretariat Konvensyen PH jalankan siasatan dakwaan petugas media dikasari

SEKRETARIAT Konvensyen PH 2026 akan lakukan siasatan dalaman berhubung dakwaan berlaku kekasaran melibatkan petugas media pada konvensyen di Persada Johor, Ahad lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pakatan Harapan (PH) akan menjalankan siasatan dalaman berhubung dakwaan berlaku kekasaran melibatkan petugas media pada Konvensyen PH 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini Ahad lalu.

Sekretariat Konvensyen PH 2026 dalam satu kenyataan berkata, pihaknya memandang serius sebarang dakwaan berkaitan gangguan terhadap tugas pengamal media, termasuk isu keselamatan dan kelancaran tugasan profesional mereka.

“Langkah ini diambil bagi mendapatkan gambaran menyeluruh tentang insiden sebenar dengan mendapatkan maklum balas daripada pasukan keselamatan, urus setia program serta pihak berkaitan yang bertugas pada hari berkenaan.

“PH hargai peranan media sebagai rakan strategik dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat serta menjunjung tinggi prinsip kebebasan media dan hubungan profesional antara kedua-dua pihak,” menurut kenyataan itu.

Tambah sekretariat berkenaan, pihaknya akan memberi kerjasama sewajarnya kepada pihak berkuasa bagi memastikan perkara ini ditangani secara adil dan berhemah.

“Langkah penambahbaikan juga akan diambil bagi memastikan pengurusan media dan kawalan keselamatan pada masa akan datang dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun, profesional dan harmoni,” katanya.

Terdahulu, Kelab Media Johor (KMJ) membuat satu laporan polis berhubung dakwaan berlaku kekasaran terhadap petugas media termasuk petugas wanita pada konvensyen berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN