TELUK INTAN: Temasya Budaya Perak 2026 yang diadakan pada 23 hingga 26 Julai depan di Dataran Udang Galah, Teluk Intan di sini dijangka dihadiri 65,000 pengunjung.
Timbalan Ketua Pengarah (Kebudayaan dan Kesenian) Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Mohd. Radzi Omar berkata, pelbagai aktiviti menarik diadakan seperti Larian Tekat Perak, Pesta Moh Makan, Program Explorace Perak Sejahtera 2030, ceramah agama perdana dan sukan serta permainan tradisional rakyat.
Menurutnya, program tersebut diadakan untuk mengangkat seni budaya warisan negeri Perak yang berdiri dalam kelas tersendiri dan unik.
“Kita sasarkan kehadiran pengunjung kira-kira 65,000 orang dengan pulangan pelaburan (ROI) sebanyak RM500,000 dan nilai perhubungan awam (PR) sebanyak RM800,000 kerana empat hari program ini padat dengan pelbagai aktiviti.
“Selain itu, kita angkat bubu iaitu sejenis alat tradisional yang digunakan untuk menangkap ikan di sungai khususnya yang amat berguna kepada masyarakat di negara kita dahulu,” katanya.
Beliau berkata sedemikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Induk Temasya Budaya Perak 2026 di Jabatan Kerja Raya (JKR) Hilir Perak di Teluk Intan hari ini.
Katanya, penganjuran program berskala besar itu dapat memberi limpahan ekonomi kepada peniaga dan usahawan terlibat khususnya sektor makanan, pengusaha inap desa dan hotel.
Menurutnya, keistimewaan program kali ini juga ialah Larian Tekat Perak yang menyasarkan lebih 1,500 peserta iaitu dengan kadar bayaran bermula RM35 sahaja membolehkan peserta memilih baju lengan pendek, panjang, berkolar dan jubah khusus untuk muslimah yang berbeza berbanding acara larian lain.
“Baju peserta nanti akan menonjolkan tekat Perak (tekatan benang emas) iaitu sulaman tradisional warisan negeri ini termasuk bentuk pingat yang akan dimenangi mereka kelak,” katanya. – UTUSAN










