Malaysia jana potensi jualan RM89.4 juta di FLEI 2026 - Utusan Malaysia

Malaysia jana potensi jualan RM89.4 juta di FLEI 2026

MATRADE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia berjaya menjana potensi jualan bernilai kira-kira AS$22.3 juta (RM89.4 juta) sempena Franchise and License Expo Indonesia (FLEI) 2026 yang berlangsung di Jakarta International Expo (JIExpo), Indonesia.

Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Pemerkasaan dan Pemantauan Keusahawanan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Norli Karim berkata, sebanyak 10 syarikat Malaysia daripada pelbagai sektor terpilih menyertai acara berkenaan tahun ini.

Katanya, syarikat terbabit ialah Artivo, Findbulous, ILUVQURAN, Mee Hiris China Muslim, Midyson, Bonda, Dsara Fried Chicken, 1901, Dapur Mama Original Nasi Kukus dan Ar-Rahn.

“Penyertaan syarikat-syarikat ini bertujuan memperkukuh kehadiran serta memperluas pengaruh jenama Malaysia dalam pasaran Indonesia.

“Jumlah potensi jualan itu dijangka terus meningkat apabila peserta masih meneroka peluang kerjasama lanjut bersama rakan niaga berpotensi,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, antara pencapaian penting yang direkodkan menerusi FLEI 2026 ialah ILUVQURAN dijangka memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan seorang pelabur.

“Ia sekali gus menandakan satu lagi pencapaian positif hasil penyertaan Malaysia dalam FLEI 2026,” ujarnya.

Pencapaian itu direkodkan menerusi penyertaan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dalam acara yang berlangsung dari 7 hingga 10 Mei lalu.

Sepanjang acara selama empat hari itu, lebih 300 mesyuarat perniagaan dianjurkan oleh MATRADE Indonesia melibatkan jenama francais Malaysia dan rakan niaga dari Indonesia.

Sementara itu, Pesuruhjaya Perdagangan Malaysia di Indonesia, Suresh Kumar berkata, Indonesia terus menawarkan potensi pertumbuhan kukuh kepada jenama francais Malaysia.

Katanya, situasi itu didorong oleh jumlah pengguna yang besar, pertumbuhan segmen pendapatan pertengahan serta peningkatan minat terhadap konsep makanan dan minuman (F&B), pendidikan dan gaya hidup yang inovatif.

“Indonesia kekal sebagai antara pasaran paling berpotensi bagi pengembangan francais Malaysia di ASEAN.

“Sambutan menggalakkan sepanjang FLEI 2026 mencerminkan permintaan kukuh terhadap konsep perniagaan Malaysia yang berkualiti, mampu milik dan berpotensi untuk dikembangkan,” katanya.

Industri francais Indonesia terus mencatat pertumbuhan kukuh disokong urbanisasi pesat, peningkatan perbelanjaan pengguna dan pertumbuhan golongan kelas pertengahan.

Dengan lebih 1,100 jenama francais beroperasi menerusi lebih 68,000 cawangan di seluruh negara, sektor itu menawarkan peluang besar bagi pengembangan serantau dan pelaburan.

PERNAS turut menyatakan komitmen untuk terus meneroka peluang di pasaran Indonesia, sekali gus mencerminkan keyakinan berterusan terhadap potensinya sebagai destinasi strategik bagi pengembangan francais serantau.

Seiring peningkatan permintaan terhadap konsep perniagaan inovatif dan mampu milik, industri francais Indonesia dijangka terus berkembang serta menjadi pintu masuk strategik kepada pertumbuhan perniagaan serantau di ASEAN. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN