KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengkaji semula Akta Keganasan Rumah Tangga bagi memastikan ia kekal relevan dan lebih menyeluruh dalam menangani isu keganasan domestik.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kajian semula itu penting susulan lebih 4,000 kes keganasan rumah tangga direkodkan selain mengambil kira perkembangan undang-undang lain yang berkaitan.
Katanya, walaupun akta berkenaan bukan di bawah bidang kuasa kementeriannya secara langsung, pihaknya akan terus bekerjasama dengan pihak berkaitan dalam proses pindaan serta menghadiri mesyuarat berkaitan bagi memberikan input diperlukan.
“Apabila ingin meminda sesuatu undang-undang, kita perlu membuat kajian supaya tidak berlaku pertindihan atau percanggahan dengan undang-undang lain yang sedia ada.
“Kita akan bekerjasama dengan pihak-pihak berkaitan dan mereka akan sentiasa mengadakan mesyuarat untuk melihat apa lagi yang perlu kita lakukan (kajian pindaan akta) dan kami akan memberi input,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Toleransi Sifar Keganasan: Katakan Tidak Kepada Gangguan Seksual di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, sebanyak 4,276 kes keganasan rumah tangga direkodkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi tempoh 2021 hingga Oktober tahun lalu. – UTUSAN










