WASHINGTON: Sebuah trak kumbahan dirempuh oleh sebuah kereta api kargo di landasan kereta api di negeri Virginia, Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.
Insiden tersebut turut mencetuskan kekecohan berhubung sisa berbahaya. Ia disebabkan serpihan trak dan sisa buangan yang berbau busuk tumpah ke atas jalan raya akibat impak rempuhan kuat yang sempat dirakam oleh kamera saksi.
Kejadian berlaku pada di Jalan Yadkin di Chesapeake ketika trak berkenaan cuba melintasi landasan tersebut. Trak itu bagaimanapun berada betul-betul di laluan kereta api kendalian Norfolk Southern yang sedang menuju ke arah timur.
Rakaman dramatik oleh saksi, Azuriah O’Daniel, menunjukkan detik cemas ketika hon kereta api dibunyikan beberapa saat sebelum merempuh bahagian belakang tangki kumbahan dengan impak yang amat kuat.
Rempuhan itu menyebabkan tangki kumbahan tercabut sepenuhnya daripada bahagian kabin pemandu. Ia kemudian melambungkan ke dalam parit di tepi landasan.
Impak kemalangan itu menyebabkan hos kenderaan tercabut, besi remuk bertaburan di atas jalan dan kandungan sisa kumbahan di dalam tangki berkenaan tumpah ke kawasan sekitar.
Pihak berkuasa mengesahkan bahawa sisa berbahaya dikesan di lokasi kejadian, namun pihak polis menyatakan tiada ancaman segera kepada orang awam.
Pemandu trak lelaki yang mengalami kecederaan parah pada awalnya dilaporkan kritikal. Namun, Polis Chesapeake kemudian mengesahkan mangsa kini berada dalam keadaan stabil selepas dikejarkan ke hospital.
Tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kalangan kru kereta api. – AGENSI










