IPOH: Anak syarikat strategik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), MajuPerak Holdings Berhad (MHB) keluar daripada status penerbit tersenarai terjejas (affected listed issuer) Bursa Malaysia hari ini.
Ketua Eksekutif PKNPk merangkap Pengerusi Eksekutif MHB, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak berkata, perkara itu mencerminkan keberkesanan langkah penstrukturan, pengukuhan dan pemulihan status MHB dalam peringkat pasaran modal.
Menurutnya, sepanjang tempoh pemulihan, MHB telah melaksanakan pelbagai inisiatif penambahbaikan secara berdisiplin dan bertanggungjawab termasuk memperkukuh pengurusan operasi, meningkatkan tahap pematuhan korporat serta memperkemas strategi perniagaan bagi memastikan kelangsungan syarikat dalam jangka panjang.
“Perkembangan ini merupakan satu pencapaian penting dalam perjalanan pemulihan syarikat dan mencerminkan keberkesanan langkah penstrukturan serta pengukuhan yang telah dilaksanakan oleh pihak pengurusan MHB sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“PKNPk percaya pencapaian tersebut bukan sahaja menandakan pemulihan status syarikat di peringkat pasaran modal, malah membuktikan keupayaan MHB untuk terus bergerak ke hadapan dengan asas kewangan, tadbir urus dan hala tuju perniagaan yang lebih kukuh serta mampan,” katanya di sini.
Menurutnya, kejayaan tersebut turut membuktikan bahawa pendekatan yang dibawa oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menerusi Pelan Perak Sejahtera 2030 menjadi antara faktor penting dalam memastikan kelangsungan serta daya tahan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC).
“Sepanjang proses pemulihan ini, pelbagai pandangan dan saranan telah dikemukakan. Namun Menteri Besar Perak kekal percaya bahawa setiap cabaran mampu diselesaikan melalui acuan dan pendekatan sendiri yang berteraskan disiplin pengurusan, kesabaran, ketelusan serta keyakinan terhadap keupayaan institusi negeri sendiri.
“Pendekatan inilah yang menjadi antara kunci penting dalam memastikan GLC negeri terus kekal relevan, berdaya tahan dan mampu bangkit semula dengan lebih kukuh,” katanya.
Tambah beliau, pengeluaran status MHB itu menghapuskan segala keraguan terhadap masa depan syarikat itu sebagai salah satu enjin strategik PKNPk dalam memacu pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negeri.
Jelasnya, ia membuktikan bahawa dengan hala tuju yang jelas, komitmen pengurusan dan sokongan semua pihak berkepentingan membolehkan MHB mampu kembali berada di landasan yang lebih positif dan berdaya saing.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MHB, Yazurin Sallij Muhammad Yasin berkata, pencapaian tersebut merupakan satu lembaran baharu yang amat bermakna buat syarikat yang mencerminkan ketahanan, komitmen serta usaha gigih seluruh pasukan dalam memperkukuh kedudukan kewangan syarikat dan memacu semula momentum perniagaan. – UTUSAN










