SHAH ALAM: Teguran oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki dan bekas ADUN Sungai Pelek, Ronnie Liu Tian Khiew menunjukkan kedua-duanya itu gagal memahami makna sebenar Rukun Negara.
Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Ab. Halim Tamuri berkata, pertuturan dan tindakan kedua-dua wakil rakyat dan bekas exco Selangor dari DAP itu berhubung titah Sultan Selangor pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Persidangan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke-15 2026, April lalu.
“PAS Selangor mengambil perhatian bahawa Sultan Selangor secara khusus menasihatkan Siew Ki dan Ronnie Liu, agar hadir ke Dataran Selangor untuk menghayati makna Rukun Negara serta memahami keperluan menghormati kedaulatan institusi diraja dan memelihara adab kesopanan serta kesusilaan.
“Ia merupakan isyarat yang jelas kenyataan atau pendirian mereka sebelum ini dilihat berada di sempadan ketidakhormatan terhadap institusi diraja, atau dalam bahasa mudah difahami masyarakat, suatu bentuk kebiadaban terhadap institusi yang menjadi payung negeri dan negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau menambah, titah tersebut membawa mesej yang jelas bahawa Rukun Negara bukan sekadar hafalan atau simbol sejarah, tetapi suatu pedoman yang perlu diterjemahkan dalam sikap, tutur kata dan tindakan setiap rakyat, lebih-lebih lagi pemimpin politik dan wakil rakyat.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Sultan Selangor menyeru Siew Ki dan Ronnie Liu supaya datang ke Dataran Selangor pada setiap minggu dan memahami Rukun Negara.
Baginda bertitah melihat sendiri Plak Monumen Rukun Negara dan menyarankan agar kedua-dua ahli politik dari DAP itu berbuat demikian supaya tahu hormat kepada kedaulatan institusi raja dan menjaga adab kesopanan dan kesusilaan.
Dalam masa sama, Ab. Halim yang juga ADUN Paya Jaras menyatakan kebebasan bersuara tidak sepatutnya menjadi alasan bagi meremehkan atau mencabar kedaulatan institusi yang menjadi salah satu tunjang kestabilan negara.
“Titah baginda disampaikan dengan kebijaksanaan dan hikmah seorang Raja Berperlembagaan, lunak pada ungkapan tetapi tegas pada maksud. Ia bukan sekadar nasihat biasa, bahkan mengandungi mesej yang hampir berbentuk amaran.
“PAS Selangor menyeru semua pihak, tanpa mengira fahaman politik, mengambil titah Duli Tuanku ini sebagai pedoman untuk memperkukuh budaya hormat, adab dan tanggungjawab dalam kembali kepada penyelesaian Islam,” tegasnya. – UTUSAN










