Titah Sultan tanda Siew Ki, Ronnie Liu angkuh, biadab - PN Selangor

Titah sultan tanda Siew Ki, Ronnie Liu angkuh, biadab – PN Selangor

Titah sultan
MOHAMED AZMIN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Titah Sultan Selangor, Sultah Sharafuddin Idris Shah supaya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki dan bekas ADUN Sungai Pelek, Ronnie Liu Tian Khiew datang ke Dataran Selangor bagi menghayati Rukun Negara bukan peringatan biasa.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sebaliknya ia merupakan teguran serius terhadap keangkuhan dan kebiadaban segelintir pemimpin politik yang gagal memahami batas adab, kesopanan dan penghormatan terhadap institusi raja-raja Melayu, demi memelihara keharmonian rakyat.

“Titah Sultan Selangor yang secara khusus merujuk kepada Siew Ki dan Ronnie Liu, kedua-duanya dari parti DAP jelas menunjukkan bahawa isu itu bukan lagi polemik biasa, tetapi menyentuh prinsip-prinsip asas kenegaraan.

“Justeru, PN Selangor menggesa YB Seri Kembangan segera mengemukakan permohonan maaf secara terbuka, tanpa syarat kepada Sultan Selangor serta seluruh rakyat Selangor atas kenyataan dan tindakannya yang menimbulkan keresahan awam serta mencetuskan ketegangan yang tidak sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyeru Siew Ki dan Tian Khiew supaya datang ke Dataran Selangor dan memahami Rukun Negara.

Baginda yang melihat sendiri Plak Monumen Rukun Negara itu menyarankan agar kedua-dua ahli politik dari DAP itu supaya datang seminggu sekali ke Dataran Selangor untuk menghayati makna Rukun Negara supaya tahu hormat kepada kedaulatan institusi raja dan menjaga adab kesopanan dan kesusilaan.

Dalam masa sama, Mohamed Azmin turut menggesa Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari mengambil tindakan tegas terhadap Siew Ki termasuk merujuknya kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Jelasnya, kegagalan mengambil tindakan tersebut memberi persepsi DUN Selangor mengamalkan sikap selektif dua darjat dalam soal disiplin ketertiban dan penghormatan kepada institusi Raja Berperlembagaan.

“Ini mustahak memandangkan DYMM Sultan Selangor adalah salah satu tonggak kepada Dewan Negeri Selangor dalam sistem Raja Berperlembagaan. Speaker wajib menerima usul tersebut demi mempertahankan kemuliaan, kesucian dan martabat Dewan Negeri Selangor.

“PN Selangor menegaskan isu ini melangkaui perbezaan politik kepartian. Mana-mana pihak yang dipilih menjadi wakil rakyat wajib memahami bahawa kebebasan bersuara mesti datang dengan tanggungjawab, bukan kekebalan untuk mencabar adab, tatasusila dan prinsip Rukun Negara yang menjadi asas perpaduan negara,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN