SHAH ALAM: Mana-mana pimpinan atau wakil rakyat PKR yang tidak lagi mampu untuk setia dengan parti supaya mengambil sikap bertanggungjawab termasuk mengosongkan kerusi.
Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, individu tersebut sepatutnya sedar parti yang disertai itulah yang memberi ruang dan akhirnya mengangkat mereka menjadi sebahagian daripada pimpinan di peringkat politik atau kerajaan.
“Kita parti sangat jelas kalau mereka yang mengambil langkah tidak lagi setia dengan parti ataupun mengambil tindakan yang merosakkan dan mengurangkan kekuatan, orang itu kena bertanggungjawab sebab parti yang menaikkan anda, memberikan ruangan untuk berkempen, menjadi pimpinan.
“Kita kehilangan pimpinan utama tetapi kerana kekuatan itulah kita dapat bertahan malahan menjadi antara parti induk di dalam kerajaan sekarang,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Kelmarin, Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail antara ahli parlimen PKR yang bergambar bersama bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli dan bekas Naib Presiden, Nik Nazmi Nik Ahmad yang mengumumkan keluar parti dalam satu program pada Ahad lalu.
Selain beliau, turut hadir adalah Ahli Parlimen Subang serta Petaling Jaya iaitu Wong Chen dan Lee Chean Chung.
Bagaimanapun, Menteri Besar Selangor itu mengakui tindakan yang dilakukan oleh Mohd. Rafizi dan Nik Nazmi tidak boleh diambil mudah dan perlu diteliti oleh semua pimpinan.
Namun, Amirudin yang juga Pengerusi PH Selangor menyatakan gabungannya, di Selangor khususnya masih baik dan mempunyai rangkaian sokongan akar umbi yang kuat di samping pendekatan strategi tepat bagi mendepani pilihan raya nanti.
“Kita kena bekerja kera terus, tidak memandang rendah semua aspek dan bersedia untuk mengalami sebarang kemungkinan.
“Dalam persimpangan ini kita kena buat keputusan dengan tepat dan bukan bermain-main sebab isunya ialah parti ini ditubuhkan dengan semangat rakyat yang membara, mengalami jalan yang panjang dan kita berdepan dengan pelbagai cabaran,” ujarnya. – UTUSAN










