Ladang babi di Selangor tutup sepenuhnya mulai Julai

Ladang babi di Selangor tutup sepenuhnya mulai Julai

Ladang babi
BORHAN AMAN SHAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Ladang babi di Tanjong Sepat, Kuala Langat dijangka ditutup sepenuhnya pada Julai ini selepas tempoh enam bulan proses penutupan diberikan oleh kerajaan negeri kepada penternak-penternak sehingga Jun.

Bermula 1 Julai, mereka sepatutnya sudah pun menyelesaikan urusan termasuk menjual ternakan mereka dan tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap penternak-penternak yang ingkar arahan tersebut selepas tarikh tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Sepat, Borhan Aman Shah berkata, tempoh tersebut merupakan kelonggaran diberikan bagi penternak masih mempunyai ternakan babi masih kecil atau baru lahir yang belum boleh dijual dan dipindahkan.

“Kita sudah beri peluang enam bulan kerana mereka memaklumkan masih ada urusan perlu diselesaikan. Selepas tamat tempoh itu, penguatkuasaan akan dilaksanakan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau yang juga Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor hadir Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kerajaan Selangor.

Jelasnya, ketika ini sebahagian premis juga sudah ditutup dan tindakan lanjut akan diambil terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi arahan ditetapkan.

Februari lalu Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan supaya ladang babi ditutup dan tidak perkenan sebarang pembukaan ladang baharu termasuk di tempat yang dicadangkan di Bukit Tagar, Hulu Selangor.

Baginda kemudian menegaskan sekali lagi dalam titahnya pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Persidangan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke-15 2026, 20 April lalu.

Bagaimanapun, titah baginda itu dihangatkan lagi oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki di dalam persidangan DUN Selangor pada 22 April yang mencetuskan polemik dan pertikaian dalam kalangan ADUN Selangor dan pimpinan politik.

Sultan Sharafuddin kemudian menegaskan sekali lagi supaya tiada lagi ladang babi di negeri ini dan isu tersebut perlu dihentikan menerusi kenyataan dikeluarkan oleh Setiausaha Sulit baginda, Datuk Mohamad Munir Bani. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN