Teng Chang Khim pengerusi baharu SME Corp - Utusan Malaysia

Teng Chang Khim pengerusi baharu SME Corp

TENG Chang Khim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: SME Corp. Malaysia (SME Corp) mengumumkan pelantikan Datuk Teng Chang Khim sebagai Pengerusi baharu agensi itu, berkuat kuasa hari ini. 

Pelantikan tersebut dibuat oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong.

SME Corp berkata, Chang Khim merupakan lulusan Undang-undang dari Universiti London serta memiliki Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) daripada Universiti Perdana. 

“Beliau turut mempunyai pengalaman luas dalam bidang industri dan perniagaan, termasuk pernah berkhidmat sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (SIDEC) serta Invest Selangor Berhad,” katanya dalam kenyataan. 

Bekas Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Selangor itu juga berpengalaman dalam pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menerusi peranannya sebagai EXCO Selangor yang memegang portfolio Pelaburan, Industri Kecil dan Sederhana, Perdagangan dan Pengangkutan bagi tempoh 2014 hingga 2018 serta portfolio Industri dan Perdagangan dari 2018 hingga 2023. 

“Chang Khim turut pernah mengendalikan portfolio Kerajaan Tempatan, R&D dan Pengangkutan Awam pada 2013 hingga 2014.

“Sepanjang kerjayanya, beliau pernah memegang beberapa jawatan penting termasuk Pengerusi Majlis Informasi dan Ekonomi Digital Selangor, Naib Pengerusi Majlis Industri Halal Selangor serta Pengerusi Penganjur Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS),” katanya.

SME Corp berkata, pihaknya menyambut baik pelantikan tersebut dan menegaskan komitmen agensi itu untuk terus memperkasakan sektor PMKS negara, khususnya menerusi agenda penskalaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

“Pada masa sama, SME Corp  turut merakamkan penghargaan kepada bekas Pengerusi, Tan Sri Panglima Bernard Giluk Dompok atas kepimpinan dan sumbangan beliau sepanjang menerajui agensi itu sejak 1 April 2023,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN