PUTRAJAYA: Rang Undang-Undang (RUU) pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri kepada 10 tahun diharap dapat diterima baik pembangkang, apabila dibentangkan semula pada sidang Parlimen, Jun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, cadangan tersebut bukan bertujuan menambah kuasa Perdana Menteri, sebaliknya untuk mengehadkan kuasa jawatan tertinggi negara itu demi memastikan tadbir urus yang lebih baik dan stabil.
“Saya harap dalam perkara ini pembangkang dapat melihat bahawa ini bukan untuk melebihkan kuasa. Ini adalah untuk mengehadkan kuasa. Pada saya, ini sesuatu yang baik untuk negara dan baik untuk rakyat,” katanya selepas berucap di Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang tahun 2025 dan Jasamu Dikenang Tahun 2026 di sini, hari ini.
Menurut Azalina, cadangan berkenaan telah dibincangkan di peringkat Kabinet beberapa bulan lalu dan akan dibentangkan semula bagi mendapatkan majoriti dua pertiga yang diperlukan untuk meluluskan pindaan Perlembagaan.
Pada masa sama, beliau turut berharap satu lagi pindaan Perlembagaan berkaitan pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya dapat diluluskan pada sidang yang sama.
“Saya harap pada sesi Jun akan datang, dua pindaan Perlembagaan dapat diluluskan iaitu mengenai tempoh perkhidmatan Perdana Menteri selama 10 tahun dan pemisahan Peguam Negara serta Pendakwa Raya,” katanya.
Tambah beliau, beberapa parti dalam Kerajaan Madani telah memasukkan cadangan had tempoh perkhidmatan Perdana Menteri itu dalam manifesto masing-masing.
Dalam pada itu, Azalina berkata, pihaknya akan merasmikan Mahkamah Tribunal Anti-Buli pada 16 Jun ini termasuk mahkamah dalam taliannya. – UTUSAN










