Krisis tenaga global jejas sektor pembuatan negara

Krisis tenaga global jejas sektor pembuatan negara

AKMAL NASRULLAH MOHD. NASIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Industri pembuatan negara ketika ini menghadapi cabaran utama antaranya gangguan bekalan bahan mentah, peningkatan kos logistik dan tekanan aliran tunai.

Hasil pembentangan kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) hari ini oleh Persekutuan Pengilangan Malaysia (FMM), cabaran lain yang dihadapi termasuklah daya saing eksport, perancangan pelaburan serta keperluan mengekalkan guna tenaga.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, sektor pembuatan kekal sebagai antara pemacu utama ekonomi Malaysia khususnya daripada segi sumbangan kepada eksport, peluang pekerjaan, pelaburan serta rantaian bekalan domestik.

“Tinjauan melibatkan 225 syarikat daripada kira-kira 4,200 syarikat ahli FMM merangkumi 29 subsektor pembuatan itu menunjukkan tekanan yang dihadapi industri ketika ini adalah menyeluruh.

“Lima subsektor yang dikenal pasti paling terkesan adalah automotif dan komponen, makanan dan minuman, plastik dan pembungkusan, kimia dan petrokimia serta elektrikal dan elektronik.

“Secara keseluruhannya, dapatan tersebut menunjukkan tekanan berterusan terhadap industri pembuatan memberi kesan berangkai kepada kos pengeluaran, kelancaran operasi, penghantaran eksport dan keupayaan syarikat mengekalkan momentum pertumbuhan,” katanya dalam Taklimat Krisis Bekalan Global di sini hari ini.

Menurutnya, kerajaan turut mengakui perusahaan kecil dan sederhana (PKS) lebih terdedah berikutan ruang kewangan yang lebih terhad untuk menyerap tekanan kos berpanjangan.

Jelasnya, sekiranya keadaan itu tidak ditangani secara berkesan, ia berpotensi menjejaskan prestasi eksport, pelaburan masa hadapan serta pendapatan isi rumah.

“Sehubungan itu, kerajaan menyediakan sokongan pembiayaan bersasar bagi membantu PKS mengekalkan aliran tunai, mengurus tekanan kos dan memastikan kesinambungan operasi.

“Antara langkah disediakan termasuk Kemudahan Bantuan Kestabilan PKS (SME SRF) oleh Bank Negara Malaysia berjumlah RM5 bilion bagi menyediakan pembiayaan modal kerja kepada PKS yang terkesan” katanya.

Selain itu, tambahnya, kerajaan turut menawarkan sokongan jaminan pembiayaan kepada PKS melalui Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP) merentas pelbagai sektor ekonomi termasuk sektor pembuatan, tertakluk kepada kelayakan skim.

April lalu, media melaporan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan jaminan RM5 bilion di bawah SJPP bagi meringankan tekanan PKS susulan krisis tenaga global dan konflik Asia Barat.

Peruntukan itu bagi menyokong PKS terjejas termasuk pembinaan, pertanian dan agrimakanan, logistik dan pengangkutan serta pelancongan melalui liputan pembiayaan sehingga 80 peratus daripada 70 peratus sebelum ini dan tempoh jaminan sehingga 10 tahun berbanding tujuh tahun.

Skim SJPP terus menjadi antara instrumen utama kerajaan dalam menyokong kelangsungan PKS, dengan lebih 50,000 PKS telah dibantu melalui jaminan pembiayaan melebihi RM50 bilion bagi tempoh 2023 hingga 2025. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN