Sindiket Macau Scam sasar warga India, 22 individu ditahan

Sindiket Macau Scam sasar warga India, 22 individu ditahan

RUSDI Mohd Isa ketika bercakap pada sidang media sindiket penipuan di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kuala Lumpur hari ini. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman berjaya menumpaskan satu sindiket penipuan Macau Scam yang menjadikan warga India sebagai sasaran utama dalam satu serbuan di sebuah premis di ibu kota, baru-baru ini.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, serbuan dilakukan oleh
Bahagian Risikan dan Operasi JSJK hasil maklumat risikan berkaitan aktiviti penipuan yang dijalankan di premis berkenaan.

Menurut beliau, dalam operasi tersebut, seramai 22 individu telah berjaya ditahan dalam satu serbuan di salah sebuah premis di Cheras bagi membantu siasatan.

“Tangkapan melibatkan dua lelaki warganegara Taiwan, 13 warga Pakistan melibatkan 12 lelaki dan seorang perempuan, enam warga India membabitkan empat lelaki dan dua perempuan
serta seorang lelaki tempatan.

“Hasil siasatan awal mendapati sindiket ini menyasarkan mangsa dari negara India dengan menggunakan modus operandi penyamaran sebagai pihak berkuasa negara tersebut,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Mengulas lanjut Rusdi berkata, ahli kumpulan berkenaan menyamar sebagai polis India dan mendakwa mangsa terlibat dalam kes jenayah serius, khususnya penyebaran kandungan berunsur hasutan terhadap kerajaan India.

“Mangsa kemudiannya akan diperdaya untuk melakukan transaksi pembayaran bagi tujuan ‘siasatan’.

“Sindiket ini turut dikesan menggunakan skrip khas yang dirancang bagi memanipulasi dan memperdayakan mangsa sehingga mereka mengalami kerugian besar,” katanya.

Tambah beliau, polis telah merampas pelbagai peralatan komunikasi dan elektronik yang digunakan untuk menjalankan aktiviti haram tersebut.

“Antara yang dirampas ialah 49 buah telefon bimbit, tiga komputer riba, satu Ipad, sebuah router Wifi dan 12 salinan skrip penipuan berbahasa Tamil.

“Ia menjadikan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM25,000,” katanya.

Beliau berkata, kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Seorang tangkapan warga tempatan telah dijamin polis, sementara 21 lagi suspek warga asing telah ditahan semula di bawah Akta Imigresen untuk siasatan lanjut sehingga Ahad ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN