KUALA LUMPUR: Jumlah laporan jenayah komersial bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini meningkat 12.89 peratus kepada 64,643 kes berbanding 57,260 kes bagi tempoh sama tahun lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, peningkatan itu melibatkan pertambahan sebanyak 7,383 laporan polis.
“Walau bagaimanapun, jumlah kerugian menunjukkan sedikit penurunan daripada RM787 juta pada tahun 2025 kepada RM764 juta pada tahun 2026, iaitu penurunan sebanyak RM22 juta bersamaan -2.8 peratus.
“Bagi tindakan pendakwaan, jumlah kertas siasatan yang dituduh di mahkamah meningkat daripada 4,525 kes pada tahun 2025 kepada 5,140 kes pada tahun 2026, dengan pertambahan sebanyak 615 kes bersamaan 13.59 peratus,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut beliau, jenayah penipuan dalam talian kekal sebagai penyumbang terbesar dalam kategori jenayah komersial dengan enam modus operandi utama iaitu jenayah telekomunikasi, e-kewangan, love scam, e-dagang, pinjaman tidak wujud dan pelaburan tidak wujud.
Katanya, bagi tempoh Januari hingga Mac lalu, sebanyak 16,880 kes penipuan dalam talian direkodkan melibatkan kerugian RM555.79 juta berbanding 12,110 kes dengan kerugian RM573.66 juta bagi tempoh sama tahun lalu.
“Jenayah telekomunikasi merupakan penyumbang terbesar bagi kedua-dua tempoh dengan 5,981 kes melibatkan kerugian RM173.03 juta pada tahun ini berbanding 5,214 kes dengan kerugian RM159.24 juta pada tahun tahun lalu.
“Ini diikuti jenayah e-dagang yang meningkat kepada 4,858 kes dengan kerugian RM30.44 juta berbanding 2,535 kes dan RM22.64 juta pada tahun sebelumnya,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, JSJK turut merekodkan peningkatan jumlah tangkapan sebanyak 1.5 peratus iaitu daripada 7,084 tangkapan pada tahun lalu kepada 7,190 tangkapan pada tahun ini.
Katanya, secara keseluruhan lebih 87 peratus kes jenayah komersial yang direkodkan adalah melibatkan penipuan dalam talian.
“Bagi tempoh Januari hingga Mac tahun lalu, sebanyak 12,110 kes penipuan dalam talian direkodkan iaitu 88.53 peratus daripada keseluruhan 13,679 kes jenayah komersial.
“Manakala bagi tempoh sama tahun ini, sebanyak 16,880 kes direkodkan bersamaan 87.74 peratus daripada keseluruhan 19,239 kes,” katanya.-UTUSAN










