MEKAH: Kuota 31,600 jemaah haji Malaysia bagi musim ini telah dipenuhi sepenuhnya walaupun seramai 514 individu menarik diri pada saat akhir.
Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd. Hisham Harun berkata, kekosongan yang berlaku segera diisi menerusi senarai menunggu, khususnya dalam kalangan mereka yang bersedia menjalani pemeriksaan kesihatan dengan segera sebelum pengesahan dibuat.
Menurutnya, Lembaga Tabung Haji mempunyai susunan keutamaan tersendiri dalam menentukan calon yang layak bagi memastikan pengisian kuota berjalan lancar.
“Kita mempunyai susunan keutamaan tersendiri dalam menentukan calon yang layak,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Beliau berkata, penarikan diri jemaah berpunca daripada pelbagai faktor termasuk masalah kesihatan, kematian dan kemalangan.
“Terdapat juga kes melibatkan isu idah susulan kematian pasangan yang menyebabkan individu berkenaan tidak dapat meneruskan ibadah haji seperti dirancang,” katanya.-UTUSAN









