Senaraikan semula nikotin di bawah Akta Racun - MMA

Senaraikan semula nikotin di bawah Akta Racun – MMA

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa kerajaan supaya tidak membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan penyahsenarai cecair nikotin daripada senarai racun pada 2023 adalah tidak sah.

Presiden MMA, Datuk Dr. Thirunavukarasu Rajoo berkata, pihaknya menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi tersebut bahkan mengesahkan bahawa mereka adalah amicus curiae dalam kes berkenaan.

Katanya, pendirian MMA tidak berubah sejak penyahsenarai cecair nikotin daripada senarai racun itu diwartakan malah secara konsisten membantah tindakan tersebut.

“Kami telah memberi amaran bahawa tindakan mengeluarkan nikotin daripada Akta Racun sebelum kewujudan undang-undang kawalan tembakau adalah tindakan yang berisiko tinggi.

“MMA menggesa kerajaan agar menyenaraikan semula, dan telah memohon Perdana Menteri untuk menarik balik keputusan tersebut. Kami menzahirkan kekecewaan yang mendalam apabila pandangan kami diabaikan. Perkara ini telah direkodkan dan boleh disemak oleh semua pihak,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Beliau berkata, isu penyahsenarai cecair nikotin itu merupakan isu lebih besar daripada keputusan mahkamah kerana ia mendedahkan suatu corak yang telah lama membimbangkan pihaknya.

“Dasar kesihatan yang dibentuk berdasarkan pertimbangan fiskal dan bukannya bukti perubatan. Lembaga Racun telah memberikan nasihat pakar secara sebulat suara, tetapi ia diketepikan, dan mahkamah mengesahkan bahawa keputusan tersebut adalah tidak wajar.

“Malaysia tidak boleh membenarkan perkara ini berulang lagi. Setiap kali keputusan kesihatan dibuat atas kepentingan ekonomi, rakyat khususnya golongan muda yang akhirnya menanggung akibatnya.

“MMA menggesa kerajaan untuk tidak membuat rayuan terhadap keputusan ini. Terima keputusan tersebut dan jadikannya ia sebagai pengajaran,” katanya.

Dr. Thirunavukarasu berkata, tiada dasar kesihatan awam yang wajar ditentukan berdasarkan faktor kewangan semata-mata sebaliknya kesihatan rakyat khususnya golongan muda tidak boleh dianggap sebagai item dalam belanjawan.

“Seterusnya, kami menyeru kerajaan untuk tanpa berlengah menyenaraikan semula nikotin cecair di bawah Akta Racun, serta memastikan prinsip bahawa nasihat pakar kesihatan harus dihormati dan tidak dipintas apabila melibatkan kesihatan awam.

“Lembaga Racun diwujudkan atas tujuan tertentu, begitu juga dengan prinsip undang-undang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN