BN bukan pengkhianat Kerajaan Perpaduan - Zambry - Utusan Malaysia

BN bukan pengkhianat Kerajaan Perpaduan – Zambry

ZAMBRY ABDUL KADIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keputusan Barisan Nasional (BN) bertanding di semua 56 kerusi pada pilihan raya negeri (PRN) Johor akan datang bukan suatu pengkhianatan terhadap Kerajaan Perpaduan.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, gabungan itu akan terus memainkan peranan dalam memelihara kestabilan kerajaan dan kesejahteraan rakyat.

“BN menghormati pendirian disuarakan oleh BN Johor berhubung hala tuju serta persiapan menghadapi PRN akan datang selaras pandangan semua pihak dalam parti komponen BN negeri.

“BN berpendirian persefahaman dan asas pembentukan kerajaan perpaduan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah atas tanggungjawab kenegaraan untuk mengelak Malaysia terjerumus dalam polemik politik berpanjangan dan persefahaman ini disepakati sehingga mandat berakhir,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sabtu lalu, Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dilaporkan berkata, keputusan bertanding di semua Dewan Undangan Negeri (DUN) dibuat selepas mengambil kira pandangan rakyat Johor serta suara kepimpinan akar umbi UMNO dan BN negeri.

Ahad lalu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan gabungan itu juga bersedia bertanding di semua kerusi di Johor jika BN meneruskan pendekatan itu menjelang PRN akan datang.

Katanya, PH turut bersedia mengambil langkah sama di Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang dan Pahang yang kini ditadbir bersama BN menerusi kerajaan perpaduan.

Pada PRN Johor 2022, BN memenangi 40 kerusi DUN, manakala PH memperoleh 12 kerusi, Perikatan Nasional (tiga) dan MUDA (satu). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN