KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan memantau perkembangan kes gangguan seksual membabitkan seorang ketua polis daerah di Sarawak yang disiasat selepas didakwa melakukan gangguan seksual terhadap seorang anggota polis wanita bawahannya.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pihaknya memandang serius kes tersebut dan menghargai keberanian pegawai terbabit yang tampil membuat laporan.
“Saya berterima kasih kepada pegawai ini kerana berani membuat laporan. Itu satu, dia berani melaporkan dan sebab kes ini melibatkan kedua-dua penguatkuasa juga. Jadi kita memantau dan melihat apa lagi yang akan berlaku seterusnya dalam kes ini.
“Saya sangat berminat dengan kes ini kerana ia melibatkan orang yang kita ‘harapkan pagar, pagar makan padi’. Dan itu (kes) kita tunggu dulu kerana saya baru baca juga laporan,” katanya kepada pemberita selepas Program Toleransi Sifar Keganasan: Katakan Tidak Kepada Gangguan Seksual di Hotel Premiera, di sini hari ini.
Media semalam melaporkan, seorang ketua polis daerah di Sarawak disiasat selepas didakwa melakukan gangguan seksual terhadap seorang anggota polis wanita bawahannya.
Difahamkan, laporan polis dibuat mangsa semalam yang mendakwa beberapa kali menjadi mangsa gangguan seksual pegawai kanan terbabit.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah mengesahkan perkara itu dan memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti kebenaran laporan berkenaan.
Beliau berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
Mangsa yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) sama membuat laporan polis mendakwa menjadi mangsa gangguan pegawai kanan terbabit yang dikatakan berlaku di tempat kerja serta kediaman pegawai berkenaan. – UTUSAN










