Rakyat muak drama politik Rafizi, tidak percaya manifesto retorik - AMK

Rakyat muak drama politik Rafizi, tidak percaya manifesto retorik – AMK

PENGASAS Parti Bersama Malaysia, Tan Gin Theam (kanan) menyerahkan sijil pendaftaran Parti Bersama Malaysia kepada Rafizi Ramli (tengah) pada Pengumuman Hala Tuju Politik Rafizi dan Nik Nazmi di Petaling Jaya. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Rakyat sudah cukup matang untuk menilai tindakan yang dilakukan Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad yang melancarkan manifesto baharu di bawah parti baharu mereka.

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Danish Hairudin berkata, rakyat hari ini sudah terlalu muak dengan drama politik yang tidak berkesudahan.

Sebaliknya, katanya, rakyat mahu pemimpin yang bekerja dan memikul amanah, bukan pemimpin yang hanya hebat mencipta persepsi serta formula politik ketika menjadi pembangkang tetapi gagal menterjemahkannya apabila diberi kuasa mentadbir negara.

Katanya, perlu diingat, sebahagian besar formula ekonomi, naratif reformasi dan draf manifesto Pakatan Harapan (PH) sebelum ini lahir daripada kelompok Rafizi sendiri.

“Rafizi sendiri diberikan portfolio paling penting iaitu Menteri Ekonomi. Beliau berada dalam posisi terbaik untuk membuktikan segala formula dan janji yang pernah beliau lontarkan selama bertahun-tahun kepada rakyat.

“Maka sudah tentu rakyat hari ini akan menjadikan rekod prestasi beliau sebagai kayu ukur untuk menilai sama ada manifesto baharu atau formula baharu yang mahu dibawa selepas ini benar-benar boleh dipercayai atau sekadar retorik politik kitar semula,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Danish berkata, rakyat tidak menilai berdasarkan siapa paling bijak bercakap di pentas ceramah atau media sosial tetapi menilai hasil kerja, keberkesanan dasar dan kemampuan menyelesaikan masalah sebenar.

“Sebab itu saya yakin rakyat semakin bijak membezakan antara propaganda manis dan kerja yang benar-benar tuntas.

“Tiada mana-mana individu lebih besar daripada perjuangan parti. Kerusi-kerusi yang dimenangi atas logo dan kekuatan parti akan terus dipertahankan oleh PKR dan AMK.

“Kita yakin rakyat akan membuat penilaian yang matang dan akhirnya menghukum mereka yang memilih percaturan politik peribadi melebihi amanah rakyat dan kestabilan negara,” katanya.

Semalam, Parti Bersama Malaysia (Bersama), yang diterajui oleh ketua umumnya, Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad, mengariskan beberapa agenda ibarat manifesto yang mempunyai 12 perkara sebagai sebahagian daripada pelancaran kepimpinan baharu semalam.

Ia merangkumi pelbagai isu daripada keselamatan sosial, pendidikan, perumahan dan alam sekitar.

Antara agenda parti itu adalah untuk mewujudkan sistem keselamatan sosial negara yang mana semua isi rumah Malaysia berhak menerima bantuan bulanan berdasarkan pendapatan isi rumah, umur, dan bilangan tanggungan.

Bersama juga mahu ekonomi negara dan gaji rakyat berkembang sebanyak 5 peratus atau lebih setiap tahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN