Wanita parah ditikam kenalan lelaki dirawat di ICU selepas pembedahan

Wanita parah ditikam kenalan lelaki dirawat di ICU selepas pembedahan

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Wanita berstatus ibu tunggal yang parah ditikam kenalan lelaki di leher selamat menjalani pembedahan selama 10 jam di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini semalam.

Kakak mangsa berkata, adik perempuannya kini ditidurkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital itu setelah menjalani pembedahan pada semalam yang bermula kira-kira pukul 9 pagi hingga 7 malam.

“Ketika ini adik saya ditidurkan untuk membolehkan dia berehat dan menerima rawatan lanjut di HSB.

“Itu sahaja yang kami boleh kongsikan. Kami belum bersedia untuk memberi sebarang kenyataan berkaitan kejadian ini,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini hari ini.

Tambahnya, dua anak lelaki mangsa kini dijaga ahli keluarga.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, keadaan mangsa dilaporkan stabil dan masih menerima rawatan di HSB.

Akhbar ini semalam melaporkan, cemburu apabila cinta tidak berbalas dipercayai menjadi punca lelaki yang merupakan ejen hartanah berusia 32 tahun menikam leher mangsa dalam kejadian di Jalan Titi Gajah, Kepala Batas, Ahad lalu.

Dalam kejadian pada pukul 9.19 malam itu, mangsa berusia 35 tahun ditikam menggunakan senjata tajam disyaki pemutar skru, pisau atau alat pemecah ais yang menembusi bahagian kiri hingga kanan leher.

Suspek diberkas kira-kira empat jam selepas kejadian ketika dia dipercayai sedang bersembunyi di sebuah masjid di Taman Uda, pada pukul 1.50 pagi, semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN