PETALING JAYA: “Semua (parti politik) sudah ada pengalaman bertukar kekasih gelap.”
Demikian kata bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli mengulas budaya politik Malaysia.
Beliau berpandangan, budaya politik negara ini dibentuk dengan budaya mempertahankan status quo lalu menyaksikan masing-masing berceramah menghentam parti saingan di depan penyokong tetapi di bilik mesyuarat menjadi teman baik atau ‘BFF’.
“Sebab mereka tahu, apa pun keputusan pilihan raya, mereka boleh jual alasan kita tidak ada pilihan kecuali bentuk kerajaan ini, kalau tidak ‘si polan’ itu, ‘si polan’ ini tidak boleh jadi Perdana Menteri.
“Strategi pilihan raya parti-parti besar yang ada, baik Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) atau Perikatan Nasional (PN) ialah bergaduh di luar dan bercium mulut di dalam. Ini namanya strategi politik kekasih gelap.
“Masa isteri tidak tahu tidak mengapa lagi, kalau isteri sudah tahu takkan la yang isteri nak reda saja dengan strategi kekasih gelap macam ni? Semua (parti) sudah ada pengalaman bertukar kekasih gelap,” katanya ketika menyampaikan ucapan di Majlis Pengumuman Hala Tuju Politik di PJ Performing Arts Center, di sini, hari ini.
Pada majlis tersebut, Rafizi dan Nik Nazmi mengumumkan pengosongan kerusi Parlimen Pandan serta Setiawangsa, selain meninggalkan PKR bagi mengambil alih Parti Bersama Malaysia (Bersama), sebuah parti kecil diasaskan pada 2016.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata, budaya tersebut menyebabkan rakyat tidak mempunyai kuasa untuk mengubah atau menyingkirkan parti yang memerintah.
“Kita mengundi macam mana pun, kebarangkaliannya masalah-masalah besar yang berangkai yang dibentangkan tadi tidak ada penyelesaian tuntas sebab keutamaan ialah kerjasama politik, bukan solusi.
“Akhirnya, rakyat biasa macam kita dihidangkan dengan pilihan juadah yang semuanya tidak menyelerakan. Kita makan bukan sebab kita suka, tetapi sebab yang itu sahaja ada. Kalau tidak makan, nanti lapar,” katanya.
Dalam pada itu, bekas Menteri Ekonomi itu berkata, negara tidak boleh berfungsi dengan baik sekiranya satu pertiga rakyat diketepikan, ia akan menyebabkan potensi negara musnah kerana layanan tidak baik serta tidak adil itu.
“Lebih teruk lagi apabila bagi orang bukan Melayu, persaingan politik yang ditawarkan kepada mereka terlalu terikat kepada sejarah lampau. Persaingan DAP dan MCA seperti persaingan UMNO dan Pas dari dulu-dulu.
“DAP menyertai Barisan Alternatif tahun 1999 dan sejak itu kerusi-kerusi majoriti bukan Melayu dituntut DAP. Hasrat pengundi bukan Melayu untuk melihat kerajaan yang lebih majmuk diterjemahkan kepada undi tidak berbelah bagi kepada DAP dan PH sejak 2008,” katanya.
Katanya, perkara tersebut mengundang kepada masalah baharu iaitu DAP disamakan dengan orang bukan Melayu dan ia dijadikan senjata politik oleh parti lawan untuk meniup api perkauman.
“Yang kemudian mengundang masalah lagi apabila DAP merasakan ia perlu vokal dalam isu-isu etnik untuk kekal mendapat undi bukan Melayu. Sedangkan demografi penduduk semakin berubah.
“Dalam tempoh 20 ke 30 tahun akan datang, jumlah kerusi-kerusi majoriti bukan Melayu akan turun mendadak dan menjadi kerusi campuran.
“DAP akan berkeras bahawa kerusi-kerusi itu kerusi tradisi mereka dan mesti meletakkan calon mereka, dalam keadaan mereka dilihat tidak banyak berbeza dengan parti-parti politik lain yang masing-masing ada kekasih gelap,” katanya. – UTUSAN










