Rafizi lancar misi ‘kamikaze’, tidak gentar hilang deposit

Rafizi lancar misi ‘kamikaze’, tidak gentar hilang deposit

MOHD. Rafizi Ramli (kanan) bersama Nik Nazmi Nik Ahmad pada Majlis Pengumuman Hala Tuju Politik di PJ Performing Arts Center di sini, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Seri Rafizi Ramli melancarkan misi ‘kamikaze’ melalui Parti Bersama Malaysia (Bersama) dalam siri pilihan raya akan datang dan tidak bimbang sekiranya hilang deposit.

Rafizi yang juga bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, pemikiran, pendekatan dan naratif parti-parti politik besar di Malaysia masih sama sejak 28 tahun lalu.

Beliau berkata, parti-parti politik yang ada tidak lagi menggambarkan ketangkasan, keberanian dan kecerdikan yang masyarakat tuntut untuk berdepan dengan cabaran 30 tahun akan datang.

“Atas kesedaran itu, saya, Nik Nazmi Nik Ahmad (bekas Naib Presiden PKR) dan rakan-rakan yang lain bersetuju untuk membuat ‘kamikaze’ sekali lagi. 

“Kami tahu tidak ada jaminan kami berjaya dan mungkin akan kehilangan deposit semua kerusi dan ditertawakan. Mungkin kami bersara dari politik sebagai orang-orang yang gagal tetapi negara serta generasi muda memerlukan lonjakan visi ini,” katanya di Majlis Pengumuman Hala Tuju Politik di PJ Performing Arts Center, di sini hari ini.

Rafizi berkata, beliau bersama rakan-rakannya percaya bahawa misi ‘kamikaze’ itu adalah sesuatu yang berbaloi.

“Oleh kerana kami tahu ia kamikaze, ia bukan mengenai menang pilihan raya atau menjadi menteri, kami tahu platform itu mestilah platform yang baharu dan menampilkan semua idea dan wawasan ini tanpa kompromi. 

“Ia tidak boleh dari kalangan parti-parti sedia ada, yang ada percaturan politik masing-masing dan sudah diwarnai oleh pandangan rakyat mengenai mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Rafizi berkata, Bersama bersedia untuk bertanding pada pilihan raya akan datang termasuk di kubu-kubu kuat parti seperti PKR dan DAP.

“Insya-Allah, di mana-mana yang kami rasakan ada keperluan, Bersama akan menawarkan diri untuk bertanding dalam siri pilihan raya yang akan datang, tidak kira kerusi itu sekarang kerusi PKR, DAP, Parti Amanah Negara (Amanah), UMNO, Pas atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Kami akan menawarkan calon yang baik dari generasi baharu, sekiranya kami menilai ada keperluan dan peluang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN