Seminar Poligraf Malaysia perkukuh integriti, saringan pekerja

Seminar Poligraf Malaysia perkukuh integriti, saringan pekerja

MOHD Saud Ayutollah Abdul Manan (tengah duduk) pada majlis perasmian penutup Seminar Poligraf Malaysia: Peranan Poligraf dalam Saringan Pekerjaan anjuran (SPRM) di Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peranan teknologi poligraf diperluaskan sebagai instrumen sokongan dalam aspek saringan pekerjaan, siasatan serta pengukuhan tadbir urus dan integriti organisasi.

Timbalan Pengarah Akademik dan Latihan Asas, Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) SPRM, Mohd Saud Ayutollah Abdul Manan berkata, perkongsian kepakaran dan pengalaman rentas agensi dapat memperkukuh kerjasama strategik dalam usaha membanteras jenayah, salah laku serta isu berkaitan integriti.

Susulan itu, penganjuran Seminar Poligraf Malaysia dilihat sebagai agenda penting dalam memperkasa pengetahuan, meningkatkan kefahaman serta memperkukuh amalan terbaik dalam bidang poligraf di peringkat nasional.

Beliau berkata, Seminar Poligraf Malaysia diharapkan dapat diteruskan secara berkala dalam skala lebih besar menerusi penganjuran program berbentuk penyelidikan, kolokium serta seminar ilmiah bagi memperkukuh pembangunan kepakaran dan potensi penggunaan poligraf di Malaysia.

“Penganjuran seminar seperti ini bukan sahaja membuka ruang pertukaran idea dan pengetahuan, malah mampu menjadi platform penting dalam memperluas pemahaman mengenai peranan teknologi poligraf sebagai instrumen sokongan dalam aspek saringan pekerjaan, siasatan serta pengukuhan tadbir urus dan integriti organisasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis penutup seminar tersebut di Dewan Tun Ismail MACA di sini, semalam.

Terdahulu, Seminar Poligraf Malaysia: Peranan Poligraf dalam Saringan Pekerjaan anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu berlangsung dari 19 hingga 21 Mei lalu mendapat sambutan hangat daripada pelbagai pihak.

Seminar itu telah menerima penyertaan seramai 60 peserta terdiri daripada wakil pelbagai agensi penguatkuasaan, badan berkanun, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pemain industri.

Antara organisasi yang terlibat ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Turut terlibat iaitu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan XSpec.

Antara penceramah terlibat ialah Asisten Superintendan (ASP), Ahmad Shahrulazmi Mazni dari Cawangan Khas PDRM; ASP Mohammad Firdaus Ashaari dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) PDRM; Penyelaras Pasukan Poligraf SPRM, Norhakimin Brahim dan Dr. Salwa Zolkaful dari Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Program latihan pula dikendalikan oleh barisan tenaga pakar iaitu pakar kriminologi, Datuk Seri Dr. Akhbar Satar, pemeriksa poligraf SPRM, Wan Mohd Firdaus Wan Yusof dan Mohd Farid Ismail bagi memastikan setiap peserta menguasai prosedur serta amalan terbaik dalam pelaksanaan pemeriksaan poligraf di peringkat jabatan.

Dalam pada itu, SPRM memaklumkan, objektif seminar adalah untuk meningkatkan pemahaman peserta mengenai peranan dan potensi penggunaan teknologi poligraf sebagai instrumen sokongan dalam proses saringan pekerjaan, pengurusan integriti organisasi serta pengendalian siasatan yang melibatkan aspek keselamatan dan tadbir urus. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN