PETALING JAYA: Kecerdasan buatan (AI) kini diperkenalkan kepada rakyat menerusi pendekatan lebih mudah, praktikal dan dekat dengan kehidupan harian supaya teknologi itu tidak lagi dilihat sebagai sesuatu yang rumit atau hanya untuk golongan tertentu.
Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Mohd. Shahar Abdullah berkata, pelaksanaan Jelajah AI MyMahir (JAM) di seluruh negara membuktikan agenda teknologi dan kemahiran masa depan perlu sampai kepada rakyat secara praktikal, bukan hanya dibincangkan di peringkat dasar.
“AI bukan lagi hanya untuk pakar teknologi. Apa yang penting ialah bagaimana ilmu ini dapat diterjemahkan kepada kegunaan harian segenap lapisan rakyat bagi menyelesaikan cabaran harian yang kompleks dengan lebih cekap.
“Melalui Jelajah AI MyMahir, Kerajaan Persekutuan membawa ilmu masa depan terus kepada rakyat. Pendekatan ini penting kerana rakyat bukan sahaja perlu tahu tentang AI, tetapi perlu dibimbing untuk mencuba, memahami dan menggunakannya dengan yakin,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Program yang berlangsung di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) itu menghimpunkan 750 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Antara yang terlibat ialah mahasiswa, pelajar sekolah, guru, usahawan, suri rumah, wanita, belia Felda, pencari kerja, komuniti setempat dan orang awam dengan kerjasama rakan strategik termasuk EY Malaysia dan UMPSA.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan TalentCorp, berkata JAM menekankan pembelajaran berkualiti yang praktikal, berfokus dan boleh terus diaplikasikan oleh peserta.
“Bagi TalentCorp, kekuatan utama JAM terletak pada pendekatan pembelajaran yang bersasar, praktikal dan disesuaikan mengikut keperluan peserta.
“Melalui modul seperti AI di Hujung Jari, asas prompt AI, AI untuk produktiviti kerja, pembinaan kerjaya, usahawan kecil, pembelajaran kendiri dan pengekodan, peserta dibimbing untuk memahami AI melalui contoh yang dekat dengan realiti harian mereka.
“Kita mahu rakyat bukan sekadar tahu tentang AI, tetapi berani mencuba dan menggunakannya secara praktikal dalam pekerjaan, pembelajaran, perniagaan dan kehidupan seharian,” katanya.
Terdahulu, siri JAM telah dilaksanakan di lapan kawasan Parlimen termasuk Kota Kinabalu, Sepanggar, Papar, Bangi, Sungai Buloh, Kluang, Parit Sulong dan Sekijang.
Program anjuran TalentCorp itu akan terus digerakkan ke kawasan-kawasan Parlimen di seluruh negara sebagai usaha memperluas literasi AI secara inklusif.
Ia selaras dengan aspirasi Kerajaan Madani untuk membina rakyat dan tenaga kerja masa depan yang lebih celik digital, berdaya saing dan bersedia menghadapi perubahan dunia pekerjaan. – UTUSAN










