JOHOR BAHRU: Johor merupakan negeri pertama yang menubuhkan jawatankuasa sementara Parti Bersama Malaysia (Bersama) di peringkat negeri susulan penyertaan seramai lebih 2,800 keahlian baharu dalam tempoh seminggu.
Pengerusi Jawatankuasa Sementara Bersama Johor, Abd. Hamid Ali berkata, hampir 30 peratus daripada jumlah itu merupakan ahli PKR yang telah lama bersama parti itu sejak sebelum penubuhan kerajaan Madani.
Menurutnya, keputusan meninggalkan PKR dan menyertai Bersama dibuat setelah pihaknya hilang keyakinan terhadap ketelusan khususnya ketika proses pemilihan parti, tahun lalu.
“Adalah sesuatu yang tidak dapat diterima apabila parti sanggup menipu anggota dengan memanipulasi proses pemilihan sehingga menyebabkan fenomena ‘badan tanpa kepala’ berlaku di seluruh negara.
“Oleh yang demikian, kami umumkan keluar daripada PKR dan menyertai Bersama berkuat kuasa hari ini. Saya sendiri sudah 27 tahun menjadi ahli PKR, bersama-sama dipukul individu yang kini menjawat jawatan menteri,” katanya dalam sidang akhbar di Bandar Baru Uda, di sini hari ini.
Tambah Abd. Hamid yang juga bekas Ketua Cabang PKR Kluang, pihaknya akan terus mengajak lebih ramai masyarakat menyertai parti berkenaan menjelang pilihan raya akan datang khususnya mereka yang sebelum ini tidak berparti.
Sementara itu, bekas Naib Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Johor, S. Gopalakrishnan pula berkata, pihaknya bersedia untuk meletakkan calon di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
“Majlis ini boleh dilihat sebagai pelancaran Bersama di Johor. Kami akan kenal pasti kekuatan dan setiap kawasan dan seterusnya mencari calon yang layak dan mampu menang dalam PRN Johor akan datang.
“Kami sudah ada perancangan dan strategi tersendiri menghadapi pilihan raya ini,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Rafizi serta Nik Nazmi mengumumkan pengambilalihan PBM yang ditubuhkan Tan Gin Theam di Pulau Pinang pada tahun 2016 untuk menjadi kuasa ketiga dalam arena politik negara.
Pada Ahad lalu, bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli dan Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan peletakan jawatan sebagai ahli parlimen dan keluar parti.
Kedua-dua bekas menteri itu juga turut mengumumkan pengambilalihan Parti Bersama Malaysia yang telah ditubuhkan pada 2016 dan berdaftar di Pulau Pinang.










