GEORGE TOWN : Warga pekerja disifatkan sebagai tunjang utama kemajuan Pulau Pinang, sekali gus menjadi pemacu kepada kedudukan negeri itu sebagai antara penyumbang terbesar eksport negara.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, justeru, sempena sambutan Hari Pekerja 2026, pengiktirafan perlu diberikan kepada golongan tersebut yang menjadi denyut nadi ekonomi negeri.
Menurut beliau, tema ‘Pekerja Madani Kesuma Bangsa’ mencerminkan penghargaan terhadap sumbangan besar tenaga kerja dalam memastikan pertumbuhan ekonomi terus mampan.
“Di sebalik setiap angka pertumbuhan dan pencakar langit yang tegak di Pulau Pinang, terdapat titisan keringat serta pengorbanan ikhlas daripada setiap insan yang bergelar pekerja,” katanya dalam perutusan sempena Hari Pekerja di sini, hari ini.
Beliau berkata, ekonomi Pulau Pinang kini berada pada landasan kukuh dengan negeri itu terus mempertahankan kedudukannya sebagai ‘Nadi Eksport’ Malaysia, menyumbang hampir 45 peratus kepada jumlah eksport negara.
Katanya, pencapaian itu didorong oleh pelaburan sektor pembuatan yang mencecah RM22.4 bilion tahun lalu, sekali gus dijangka mewujudkan 24,633 peluang pekerjaan baharu.
“Fokus kita adalah memastikan rakyat Pulau Pinang bukan sekadar menjadi pemerhati, tetapi tampil sebagai pemain utama dalam industri bernilai tinggi,” jelasnya.
Beliau berkata, kadar pengangguran negeri yang stabil pada 2.7 peratus membuktikan pasaran buruh kekal dinamik, namun cabaran baharu memerlukan penyesuaian kemahiran selaras perkembangan teknologi.
“Kita sedang berdepan revolusi kemahiran dengan ledakan kecerdasan buatan dan peralihan ke arah ekonomi hijau. Kerajaan negeri komited membangunkan ekosistem yang melindungi serta memperkasa tenaga kerja,” katanya.
Katanya, dua projek utama bakal mengubah landskap pekerjaan negeri iaitu pembangunan Pulau Silikon melalui Green Tech Park serta Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara yang kini memasuki fasa pembinaan kritikal.
“Selain itu, kerajaan negeri turut memperuntukkan RM15 juta bagi program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta STEM bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan berdaya saing global,” katanya.-UTUSAN










