MEKAH: Ramai jemaah sebenarnya berdepan gelombang emosi yang mencabar sebaik tiba di Tanah Suci, khususnya pada peringkat awal penyesuaian diri di sebalik kegembiraan menunaikan ibadah haji.
Pengurus Kaunseling Haji, Azlina Abdul Hamid berkata, perubahan mendadak dari segi cuaca, rutin harian dan persekitaran menjadi antara faktor utama yang mempengaruhi emosi jemaah.
Menurutnya, jemaah khususnya yang pertama kali menjejakkan kaki ke luar negara atau ke Tanah Suci lazimnya akan melalui fasa cemas, teruja dan tidak kurang juga berasa hilang arah.
“Bila sampai di sini, semuanya berubah, daripada rutin harian, cara hidup hinggalah kepada rakan sebilik yang sebelum ini tidak dikenali.
“Ada yang rasa teruja, tetapi dalam masa sama wujud rasa cemas dan kekok yang perlu diurus dengan baik,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Beliau berkata, situasi itu jika tidak ditangani boleh menjejaskan fokus jemaah terhadap ibadah yang menjadi matlamat utama mereka.
Mengulas kes yang sering berlaku, beliau berkata konflik antara rakan sebilik merupakan antara isu paling biasa setiap tahun.
“Jemaah datang daripada latar belakang berbeza. Cara hidup dan kebiasaan tidak sama.
“Kalau tidak diurus dengan baik, boleh timbul salah faham. Jadi kita sentiasa nasihatkan supaya berlapang dada dan bertolak ansur,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata setakat ini tiada kes serius dilaporkan bagi musim haji tahun ini.-UTUSAN










