Ribut di Kepala Batas: Empat sekolah terjejas

Ribut di Kepala Batas: Empat sekolah terjejas

MOHAMAD Dziauddin Mat Saad (tengah) bersama Reezal Merican Naina Merican (dua dari kiri) ketika meninjau kerosakan yang berlaku susulan kejadian ribut petang semalam di SMK Datuk Haji Abdul Kadir di Kepala Batas, Pulau Pinang.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS : Empat buah sekolah di sekitar kawasan ini dikenal pasti sebagai antara premis dan bangunan yang terjejas susulan kejadian ribut kuat yang melanda beberapa lokasi di Kepala Batas sejak petang semalam.

Sekolah yang paling teruk terjejas ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Haji Abdul Kadir, diikuti oleh Sekolah Kebangsaan (SK) Hashim Awang, SMK Gemilang serta SMK Permatang Tok Jaya.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP), Mohamad Dziauddin Mat Saad berkata, hampir semua sekolah tersebut mengalami kerosakan yang sama iaitu bumbung tercabut dan diterbangkan angin dalam kejadian berkenaan.

Beliau bagaimanapun bersyukur kerana tidak ada murid atau mana-mana warga sekolah yang terlibat dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 7 malam itu.

“Jadi, kita (JPNPP) telah selesai isu itu (keselamatan) dan bermula hari ini (Jumaat), Sabtu dan Ahad, kita nak fokus tentang kerja-kerja pembersihan pula bagi memastikan anak-anak yang akan memasuki asrama pada hari Ahad berada dalam keadaan selamat sekali gus membolehkan sesi persekolahan pada hari Isnin berjalan dengan teratur.

“Kita juga telah berbincang dengan dengan pihak sekolah untuk membuat penempatan sementara bagi lima buah kelas yang terjejas dan kelas tersebut juga boleh berlangsung seperti biasalah,” katanya selepas meninjau keadaan SMK Datuk Haji Abdul Kadir bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, hari ini.

Sementara itu, Reezal Merican berkata, anggaran serta penilaian awal kerosakan yang dimaklumkan oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) di SMK Datuk Haji Abdul Kadir ketika ini adalah sekitar RM300,000.

“Tapi, itu (anggaran) untuk luaran atau struktur (bangunan) sahaja. Kalau melihat keadaan hujan (air) yang masuk ke dalam bangunan, pendawaian juga mungkin terkesan dan pastinya ada peralatan serta peralatan yang rosak. Jadi, (kerugian) mungkin mencecah antara RM400,000 hingga ke RM500,000.

“Apapun, saya rasa dalam tempoh sehari dua ini, pihak JKR dan Jabatan Pendidikan negeri pastinya akan membuat penganalisaan serta penyelidikan dari segi kos anggaran yang sebenar,” ujar beliau.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang sebelum itu memaklumkan, lebih 70 premis termasuk kediaman di sekitar Kepala Batas terjejas susulan ribut berkenaan termasuk Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kepala Batas sendiri.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, JBPM Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, ribut yang kuat itu juga telah menyebabkan beberapa pokok besar tumbang sehingga menghempap kenderaan serta bumbung rumah milik penduduk setempat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN