WWF-Malaysia sokong usaha bawa pulang Dara, Amoi dan Kelat

WWF-Malaysia sokong usaha bawa pulang Dara, Amoi dan Kelat

WWF-Malaysia menyatakan solidariti bersama rakyat Malaysia berhubung kebajikan tiga ekor gajah iaitu Dara, Amoi dan Kelat yang kini berada dalam kurungan di Zoo Tennoji, Jepun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tabung Alam Sedunia Malaysia (WWF-Malaysia) menyatakan solidariti bersama rakyat Malaysia berhubung kebajikan tiga ekor gajah iaitu Dara, Amoi dan Kelat yang kini berada dalam kurungan di Zoo Tennoji, Jepun.

WWF-Malaysia dalam kenyataan berkata, kebajikan ketiga-tiga gajah tersebut merupakan perkara yang wajar diberi perhatian serius dan tidak boleh dipandang ringan.

“Kami turut berkongsi kebimbangan yang sama. Gajah merupakan haiwan yang sensitif dan sosial dengan keperluan yang kompleks.

“Sebarang situasi yang menimbulkan persoalan terhadap kesejahteraan mereka wajar diberi perhatian, diteliti dan ditangani berdasarkan sains dan empati,” katanya.

Menurut WWF-Malaysia, pihaknya mengalu-alukan kenyataan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup yang mempertimbangkan untuk membawa pulang gajah berkenaan ke Malaysia atas dasar kepentingan awam.

“Keputusan seperti ini perlu mengutamakan kesihatan haiwan, kebajikan jangka panjang serta kerjasama antarabangsa. Ia juga perlu dipandu oleh kepakaran dan penilaian yang teliti,” katanya.

Dalam pada itu, WWF-Malaysia menjelaskan, pihaknya tidak menguruskan gajah dalam kurungan atau membuat keputusan berkaitan institusi zoologi.

Bagaimanapun, WWF-Malaysia berkata, adalah menjadi mandat organisasi itu untuk memberi tumpuan kepada gajah liar yang kini berdepan tekanan berterusan.

“Di Malaysia, populasi gajah liar berdepan ancaman akibat kehilangan habitat, pemburuan haram serta konflik dengan manusia yang kian meningkat.

“Ini merupakan cabaran mendesak yang memerlukan intervensi secara berterusan serta kerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan,” katanya.

Bagaimanapun, WWF-Malaysia berkata, pihaknya tidak memandang ringan situasi semasa dan sedang berinteraksi dengan pihak berkepentingan.

“Langkah ini penting bagi memastikan sebarang keputusan dibuat berlandaskan pertimbangan kebajikan haiwan serta prinsip pemuliharaan yang kukuh.

“WWF-Malaysia kekal komited melindungi gajah di Malaysia, memelihara habitatnya, mengurangkan konflik, membanteras pemburuan haram serta memastikan generasi akan datang dapat mewarisi persekitaran di mana gajah dapat terus hidup dan berkembang,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN