JAKARTA: Indonesia akan menurunkan had komisen yang dikenakan syarikat e-hailing kepada pemandu bagi setiap perjalanan kepada lapan peratus daripada 20 peratus sebelum ini, kata Presiden, Prabowo Subianto di Jakarta.
Prabowo berkata, beliau sudah menandatangani satu peraturan Presiden yang menjadi asas kepada had maksimum komisen baharu yang boleh diambil oleh syarikat e-hailing daripada rakan pemandu mereka.
“Bahagian pendapatan untuk pemandu meningkat daripada 80 peratus kepada sekurang-kurangnya 92 peratus,” katanya dalam satu ucapan.
Prabowo bagaimanapun tidak menyatakan bila peraturan itu akan mula berkuat kuasa.
Katanya, selain had komisen yang lebih rendah, peraturan tersebut juga mewajibkan syarikat e-hailing menyediakan perlindungan insurans kemalangan dan kesihatan kepada pemandu.
“Tidak adil apabila pemandu yang bekerja keras, tetapi platform yang meraih keuntungan,” kata beliau.
Pada Januari, Reuters melaporkan secara eksklusif mengenai rancangan peraturan itu yang dijangka memberi kesan kepada keuntungan platform e-hailing di pasaran terbesar mereka di Asia Tenggara.
Peraturan tersebut akan memberi kesan kepada syarikat seperti GoTo dan pesaingnya yang berpangkalan di Singapura, Grab.










