Ribut: Pesara tergamam lihat bumbung garaj di belakang rumah

Ribut: Pesara tergamam lihat bumbung garaj di belakang rumah

MUHAMAD Roslan Abd. Rahim menunjukkan bumbung garaj rumahnya yang diterbangkan ribut sejauh kira-kira 15 meter sehingga ke belakang rumah di Permatang Bertam, Kepala Batas, Pulau Pinang.-UTUSAN/ISWAN SHAFIQ ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS : Seorang pesara tergamam selepas menyaksikan bumbung garaj kereta miliknya yang terletak di hadapan rumah diterbangkan ribut hingga sejauh 15 meter ke belakang rumah.

Muhamad Roslan Abd. Rahim, 72, berkata, ketika kejadian, dia baru sahaja pulang ke rumahnya di Permatang Bertam di sini selepas keluar makan bersama rakan.

“Masa itu, hujan baru sahaja turun dan saya tengok cuaca agak lain macam dengan guruh berdentum-dentum. Kemudian, saya cabut semua sambungan WiFi dan terus masuk ke dalam bilik.

“Tiba-tiba ada orang maklum ada bumbung rumah saya tercabut. Apabila saya keluar tengok, bukan sahaja bumbung, malah hampir kesemua tiang bumbung garaj saya terangkat dan diterbangkan angin kuat sehingga ke reban ayam di belakang rumah,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.

Jelas Muhamad Roslan, susulan kejadian tersebut, dia menganggarkan mengalami kerugian antara RM15,000 hingga RM20,000 selain kerosakan tambahan berjumlah RM5,000 selepas bumbung dan tiang konkrit itu mengempap reban ayam berkenaan.

Terdahulu, Muhamad Roslan turut dikunjungi oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang singgah untuk bertanya khabar serta menyampaikan sumbangan kepadanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Hairunnisha Mohamad Yatin, 25, ketika ditemui berkata, ketika kejadian, dia berada di dalam rumah sebelum diberitahu ada dahan pokok menghempap bumbung rumah mereka.

Katanya, ini kali kedua dia berhadapan dengan situasi itu sekali gus menyebabkan dia trauma apabila mendengar bunyi angin serta ribut yang kuat di luar rumah.

“Masa pertama kali kena dahulu lagi teruk. habis tunggang terbalik semua barang-barang dalam rumah sekali. Jadi, trauma itu tetap adalah.

“Apapun, saya bersyukur kerana kami sekeluarga selamat,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN