GEORGE TOWN: Kegiatan memproses kayu balak tanpa kelulusan oleh sebuah kilang di daerah Seberang Perai Utara (SPU) terbongkar selepas diserbu dalam operasi khas oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Pulau Pinang, kelmarin.
Dalam serbuan sempena Op Sawmill kira-kira pukul 7 pagi oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) itu, dua lelaki tempatan berusia 38 dan 55 tahun yang dipercayai pekerja premis berkenaan turut ditahan bagi membantu siasatan.
Komander Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA), M. Balveer Singh berkata, pemeriksaan mendapati kilang tersebut menjalankan aktiviti mengumpul dan memproses kayu balak tanpa sebarang permit sah daripada pihak berkuasa.
“Semakan mendapati lesen kilang papan, papan lapis, venir dan papan blok yang dimiliki juga telah tamat tempoh sejak 31 Disember 2025,” katanya di sini semalam.
Pihaknya turut merampas pelbagai mesin memotong dan memproses kayu balak, sejumlah kayu balak serta sebuah motor lori yang digunakan untuk mengangkut bahan berkenaan dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM1.86 juta.
Kes diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Negeri Pulau Pinang untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 68(1) Akta Perhutanan Negara 1984.
“Jika sabit kesalahan, pihak terlibat boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.-UTUSAN










