UMNO Negeri Sembilan dakwa Menteri Besar gagal urus krisis adat

UMNO Negeri Sembilan dakwa Menteri Besar gagal urus krisis adat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Krisis melibatkan institusi adat di Negeri Sembilan dilihat semakin parah susulan tindakan kerajaan negeri mengarahkan penempatan semula kakitangan serta pengosongan Kediaman Rasmi dan Balai Undang Sungei Ujong semalam.

Sayap UMNO Negeri Sembilan berkata, perkembangan terbaharu itu mencerminkan kegagalan kepimpinan Menteri Besar dalam mengurus krisis mengikut tertib adat.

Menurutnya, isu berkenaan bukan melibatkan politik kepartian semata-mata, sebaliknya menyentuh soal maruah institusi adat serta persepsi rakyat terhadap pentadbiran negeri.

“Tindakan tergesa-gesa seperti ini hanya mengesahkan kebimbangan mengenai krisis ini telah gagal diurus dengan bijaksana oleh Menteri Besar Negeri Sembilan.

“Ia juga menguatkan alasan mengapa keyakinan terhadap kepimpinan Menteri Besar telah hilang sejak tecetusnya krisis ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, arahan tersebut dikeluarkan ketika Balai Undang Luak Sungei Ujong sedang menguruskan pertikaian yang belum selesai melibatkan Dato’ Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong.

“Maka tindakan kerajaan negeri ini adalah tidak wajar, tidak sensitif dan boleh dilihat sebagai penggunaan kuasa pentadbiran untuk mendahului proses adat,” katanya.

Dalam pada itu, mereka turut menegaskan institusi Undang Luak bukan sekadar jawatan pentadbiran biasa, sebaliknya merupakan sebahagian daripada struktur adat Negeri Sembilan yang mempunyai kedudukan tinggi dalam sejarah, budaya serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Sementara itu, Setiausaha Sulit kepada Undang Luak Sungei Ujong, Ahmad Hanafi Ruzlan mendakwa pihaknya tidak menerima sebarang dokumen rasmi berkaitan pelucutan jawatan Datuk Mubarak Dohak sebagai Undang Luak Sungei Ujong ke-10.

Perkara itu dimaklumkan menerusi surat yang merujuk kepada dua surat Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan bertarikh 27 April dan 29 April lalu.

Menurut surat tersebut, pihaknya turut mempersoalkan tindakan penghantaran arahan penempatan semula kakitangan yang dibuat di luar waktu pejabat iaitu sekitar pukul 10 malam pada 27 April, dengan arahan melapor diri keesokan harinya.

“Pertemuan pada 28 April lalu di Pejabat Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan memaklumkan penempatan semula itu adalah lanjutan daripada pelucutan Datuk Mubarak Dohak sebagai Undang Luak Sungei Ujong.

“Bagaimanapun, pihak kami tidak dibekalkan sebarang surat rasmi pelucutan atau minit mesyuarat Sidang Khas Dewan Keadilan dan Undang bertarikh 17 April 2026 di Istana Besar Seri Menanti bagi tujuan pengesahan,” menurut surat itu.

Jelasnya, permohonan untuk mendapatkan dokumen tersebut telah dibuat, namun dimaklumkan ia wujud tetapi tidak diserahkan kepada pihak balai.

Sehubungan itu, pihak balai tersebut menegaskan bahawa akan menangguhkan pengosongan premis bagi memastikan pengurusan krisis yang sedang berlaku dapat dikendalikan dengan baik tanpa menimbulkan risiko kepada organisasi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN