Nestle Malaysia bermula kukuh tahun ini, komited tidak naikkan harga produk

Nestle Malaysia bermula kukuh tahun ini, komited tidak naikkan harga produk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Nestle (Malaysia) Berhad (Nestle) mencatatkan permulaan yang kukuh bagi tahun kewangan 2026 dengan pertumbuhan jualan sebanyak 6.3 peratus tahun ke tahun, dipacu oleh permintaan domestik yang tinggi sempena musim perayaan.  

Penganalisis Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research, Jonathan Ooi Xhu Juan berkata, peningkatan jualan itu disokong oleh kenaikan jumlah volum domestik sebanyak 7.4 peratus hasil daripada aktiviti promosi sempena Tahun Baru Cina dan Hari Raya Aidilfitri.  

“Momentum ini menyerlahkan kejayaan strategi kumpulan dalam menawarkan pelbagai rangkaian produk disahkan halal yang menarik minat pasaran tempatan.  

“Margin kasar turut bertambah baik sebanyak 0.9 mata peratusan, dibantu oleh penurunan harga komoditi utama seperti kopi dan koko, selain pengukuhan nilai ringgit,” katanya dalam nota penyelidikan.  

Semalam, pengurusan Nestle memberi taklimat bahawa syarikat akan mengekalkan pendirian untuk tidak menaikkan harga produk bagi suku kedua dan ketiga tahun ini. 

Langkah itu diambil dengan mengutamakan kecekapan operasi dan mengamankan laluan bekalan alternatif bagi menangani gangguan logistik di Asia Barat yang melibatkan kira-kira 20 peratus bahan mentah kumpulan.  

Jonathan berkata, Nestle kini beralih ke kitaran perbelanjaan modal yang lebih rendah, iaitu kira-kira separuh daripada fasa pelaburan RM1 bilion sebelum ini, dengan fokus kepada digitalisasi dan automasi.  

“Kumpulan terus memanfaatkan kedudukannya sebagai hab inovasi global melalui pengenalan produk baharu seperti pekat kopi Nescafe dan penyelesaian penggoreng kering Maggi.  

“Walaupun tahap inventori ditingkatkan secara strategik bagi mengurus risiko bekalan yang mungkin menjejaskan modal kerja buat sementara, permintaan pasaran kekal sihat dan stok perdagangan berada pada paras selesa,” katanya.  

HLIB Research mengekalkan saranan beli terhadap Nestle dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada RM135.00.  

Katanya, penilaian saham syarikat itu dilihat menarik memandangkan ia kini didagangkan pada nisbah harga kepada pendapatan (P/E) bagi tahun kewangan 2026/2027 yang berada di bawah purata lima tahun.  -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN