Tukar kerajaan melalui pilihan raya bukan menderhaka

Tukar kerajaan melalui pilihan raya bukan menderhaka

RAKYAT berhak menyokong kerajaan yang diyakini adil dan berhak menawarkan pilihan kepimpinan yang lain.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JABHAH Ilmuwan Muda Malaysia (Jabhah) mengambil maklum ucapan Tuan Guru Haji Wazir Che Awang al-Makki dalam Program Sebarkan Salam @ Kota Bharu Berselawat pada 31 Oktober 2026.

Menurut laporan media, beliau menyentuh hukum menjatuhkan pemerintah yang adil dan mengingatkan masyarakat tentang tindakan golongan Khawarij dalam sejarah Islam.

Masyarakat wajar membezakan dua tindakan yang berlainan hukumnya. Mengangkat senjata terhadap pemerintah membawa persoalan khuruj dan pertumpahan darah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mengundi untuk menukar parti pemerintah pula ialah hak yang dilaksanakan oleh rakyat menurut Perlembagaan. Seorang pengundi boleh mengakui kebaikan kerajaan sedia ada dan tetap memilih calon lain yang pada pertimbangannya lebih mampu memikul amanah.

Antara penyelewengan yang dikaitkan dengan golongan Khawarij ialah sikap melampau dalam menghukum keimanan sesama Muslim sehingga menghalalkan darah mereka.

Oleh itu, gelaran Khawarij membawa tuduhan agama yang berattidak memadai untuk mengenakan gelaran tersebut kepada seseorang.

Imam al-Nawawi, ketika mensyarahkan hadis tentang ketaatan kepada pemerintah, membincangkan secara khusus tindakan bangkit memerangi pemerintah.

Antara sebab larangannya ialah fitnah, pertumpahan darah dan rosaknya hubungan sesama masyarakat. Memperluas larangan tersebut kepada perbuatan membuang undi bererti mengenakan hukum yang sama kepada dua tindakan yang berbeza sifat dan akibatnya.

Rakyat boleh mentaati arahan pemerintah yang makruf sepanjang tempoh pentadbirannya, menasihatinya apabila berlaku kesilapan dan memilih wakil lain apabila tiba pilihan raya. Ketiga-tiga tindakan ini dapat dilakukan dengan penuh tanggungjawab.

Kewajipan taat dalam perkara yang makruf tidak mewajibkan pengundi memperbaharui mandat sesebuah parti pada setiap pilihan raya.

Menurut Perkara 113(1) Perlembagaan Persekutuan, Suruhanjaya Pilihan Raya menjalankan pilihan raya bagi Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri. Di peringkat Persekutuan, rakyat memilih ahli Dewan Rakyat.

Menurut Perkara 43(2)(a), Yang di-Pertuan Agong melantik sebagai Perdana Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan itu.

Perlembagaan turut memperuntukkan keadaan apabila sokongan terhadap Perdana Menteri berubah dalam tempoh penggal mengikut Perkara 43(4). Oleh itu, pertukaran pentadbiran melalui tatacara ini sendiri merupakan pelaksanaan aturan berperlembagaan negara.

Rakyat berhak menyokong kerajaan yang diyakini adil dan berhak menawarkan pilihan kepimpinan yang lain. Menilai sesebuah kerajaan sebagai adil ialah alasan yang wajar untuk menyokongnya.

Penilaian itu tidak menjadikan undi kepada pesaingnya haram, dan tidak mengharuskan seseorang pengundi dilabel sebagai Khawarij atau penderhaka.

Semua pihak diseru agar membahaskan rekod pentadbiran, mutu calon dan dasar yang ditawarkan kepada rakyat dengan hujah yang dapat dinilai.

Pemerintah dan pembangkang memikul amanah dan berkewajipan menghormati keputusan rakyat dan tatacara pembentukan kerajaan yang ditetapkan oleh Perlembagaan. – UTUSAN

MUHAMMAD ADAM IMAN MOHD FARID
Timbalan Pengerusi
Jabhah Ilmuwan Muda Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini