AS gesa pertemuan antara pemimpin Lubnan dan Israel

AS gesa pertemuan antara pemimpin Lubnan dan Israel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIRUT: Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Lubnan menggesa satu pertemuan diadakan antara pemimpin Lubnan dan Israel, ketika kementerian kesihatan negara itu melaporkan serangan rejim Zionis di selatan Lubnan membunuh sekurang-kurangnya 17 orang walaupun gencatan senjata sedang berlangsung.

Wakil Israel dan Lubnan bulan ini mengadakan dua pertemuan di Washington, yang pertama seumpamanya dalam beberapa dekad selepas kumpulan Hizbollah yang disokong Iran mengheret negara itu ke dalam perang Asia Barat pada 2 Mac, mencetuskan serangan besar Israel dan pencerobohan darat.

Selepas rundingan pertama, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan gencatan senjata selama 10 hari di Lubnan yang bermula pada 17 April, serta lanjutan tiga minggu selepas pusingan kedua perbincangan.

Trump berkata, beliau berharap dapat menjadi tuan rumah kepada Presiden Lubnan, Joseph Aoun dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dalam beberapa minggu akan datang ketika kedua-dua negara bersedia untuk rundingan langsung.

Rancangan rundingan itu mencetuskan perpecahan di Lubnan, dengan HIzbollah menolak rundingan secara langsung serta komitmen Beirut sebelum ini untuk melucutkan senjata kumpulan itu.

“Lubnan berada di persimpangan jalan. Rakyatnya mempunyai peluang bersejarah untuk mendapatkan semula negara mereka dan membentuk masa depan sebagai negara yang benar-benar berdaulat dan merdeka,” kata kedutaan itu, sambil menambah masa untuk bertangguh telah berakhir.

Kedutaan itu berkata, pertemuan langsung antara Aoun dan Netanyahu yang difasilitasi oleh Trump akan memberi peluang kepada Lubnan untuk mendapatkan jaminan konkrit mengenai kedaulatan penuh, integriti wilayah, sempadan selamat, sokongan kemanusiaan dan pembinaan semula, serta pemulihan sepenuhnya kuasa negara Lubnan dengan jaminan AS.

Pada Rabu, Aoun berkata, Israel mesti terlebih dahulu melaksanakan sepenuhnya gencatan senjata sebelum bergerak ke rundingan sambil menegaskan serangan tentera rejim tidak boleh diteruskan seperti sekarang.

“Kami kini menunggu AS menetapkan tarikh untuk memulakan rundingan langsung dengan Israel,” katanya.

Israel terus melancarkan serangan maut ke atas Lubnan walaupun terdapat gencatan senjata, dan tenteranya beroperasi di dalam ‘Garis Kuning’ yang berada kira-kira 10 kilometer ke dalam wilayah Lubnan di sepanjang sempadan.

Kementerian kesihatan Lubnan berkata, serangan Israel di selatan telah membunuh 17 orang pada Khamis, termasuk lima wanita dan dua kanak-kanak, manakala tentera Lubnan berkata seorang anggotanya turut terbunuh.

Tentera Israel juga berkata, seorang askarnya terbunuh di selatan Lubnan.

Aoun pada Khamis mengecam pelanggaran berterusan Israel di selatan negara itu. Beliau memberitahu delegasi Persekutuan Antarabangsa Palang Merah dan Bulan Sabit Merah, pelanggaran itu berlaku walaupun terdapat gencatan senjata, termasuk perobohan rumah dan tempat ibadat, serta peningkatan jumlah korban dan kecederaan.

“Tekanan mesti dikenakan ke atas Israel supaya ia menghormati undang-undang antarabangsa dan menghentikan serangan ke atas orang awam, paramedik, pertahanan awam serta organisasi kemanusiaan,” katanya.

Agensi berita NNA melaporkan beberapa serangan udara Israel di selatan Lubnan pada Khamis, manakala jurucakap tentera Israel menggesa pemindahan lebih 20 kampung di selatan.

Hizbollah pula mendakwa telah melancarkan 10 serangan ke atas sasaran tentera Israel di selatan Lubnan termasuk kereta kebal dan askar.

Di Beirut, puluhan penduduk dari selatan Lubnan dan pegawai tempatan berhimpun membantah kemusnahan berterusan kampung mereka oleh Israel.

Teks gencatan senjata yang diterbitkan oleh Jabatan Negara AS memberi Israel hak untuk bertindak terhadap serangan yang dirancang, hampir berlaku atau sedang berlaku.

Hizbollah menolak peruntukan itu, dengan menyatakan ia tidak pernah dibentangkan kepada Kabinet Lubnan.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN