Scam digital ancaman nasional, rugi RM2.77 bilion

Scam digital ancaman nasional, rugi RM2.77 bilion

NADZIM Johan ketika sidang akhbar berhubung isu kebocoran data, penipuan digital dan sistem telekomunikasi di Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Isu scam telefon dan penipuan digital bukan lagi kes terpencil, sebaliknya menjadi ancaman serius terhadap keselamatan data, kewangan dan kesejahteraan rakyat apabila kerugian dilaporkan meningkat kepada RM2.77 bilion tahun lalu.

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berkata, trend kerugian rakyat akibat scam menunjukkan peningkatan ketara daripada RM1.28 bilion pada 2023 kepada RM1.57 bilion pada 2024 sebelum melonjak kepada RM2.77 bilion pada 2025.

Pengerusinya, Datuk Nadzim Johan berkata, angka itu membuktikan penipuan digital kini menjadi ancaman berskala nasional yang memerlukan tindakan lebih tegas, bukan sekadar respons selepas mangsa mengalami kerugian.

Katanya, mangsa bukan sahaja kehilangan wang, malah turut berdepan tekanan emosi, gangguan hidup dan risiko nama disalah guna untuk pendaftaran talian atau transaksi tanpa kebenaran.

“Perkara ini tidak boleh dibiarkan kerana ia sudah menjadi penipuan berterusan yang mesti dihentikan,” katanya dalam sidang media berhubung isu kebocoran data, penipuan digital dan sistem telekomunikasi.

Nadzim berkata, PPIM mahu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM), institusi kewangan dan syarikat telekomunikasi bergerak secara bersama bagi mengesan corak penipuan lebih awal serta menyekat transaksi mencurigakan secara masa nyata.

Dalam kes terbaharu, pesara, Suhaimi Shuib, 68, mendakwa kerugian puluhan ribu ringgit selepas membeli telefon bimbit Honor di sebuah kedai di kotaraya sebelum kad bank dan maklumat peribadinya disalah guna.

Suhaimi berkata, beliau pada awalnya diminta menyerahkan kad pengenalan bagi tujuan pembelian telefon sebelum diarahkan membuat pengeluaran wang tunai kira-kira RM3,000 untuk bayaran peranti tersebut.

“Dua hari kemudian, saya menerima panggilan memaklumkan kononnya memenangi tablet percuma dan diminta datang semula ke kedai sama, sebelum menyedari kad banknya hilang pada malam kejadian.

Suhaimi mendakwa, kerugian itu menyebabkan beliau tertekan sehingga sukar tidur dan mengalami masalah kesihatan, selain terpaksa membayar semula jumlah tertentu kepada bank walaupun transaksi tersebut dibuat tanpa pengetahuannya.

Beliau berkata, keseluruhan kuota 18 nombor telefon atas namanya telah digunakan tanpa pengetahuan, namun hanya enam talian didaftarkan secara sah, manakala baki 12 lagi dipercayai menggunakan identitinya secara tidak sah.

Sementara itu, ahli perniagaan, Muhammad Mirzan Johor, 28, berkata, penipuan digital hari ini semakin licik apabila sindiket bukan sahaja menyamar sebagai pihak berautoriti, malah memanipulasi keyakinan mangsa melalui dokumen, nama pegawai dan maklumat rasmi yang kelihatan sah.

“Saya pernah hampir menjadi mangsa sindiket yang menyamar sebagai pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kononnya mahu membuat tempahan lembu korban sebelum meminta bayaran hampir RM80,000 bagi pembelian cenderamata berupa keris melalui sebuah kedai hadiah.

“Helah itu hanya dikesan selepas suspek mendesak bayaran dibuat segera, selain nombor telefon yang digunakan bukan milik pegawai sebenar walaupun nama, jawatan dan maklumat individu berkenaan wujud dalam carian rasmi,” katanya.

Muhammad Mirzan turut mendakwa pernah kerugian RM74,000 selepas menyerahkan jam mewah kepada pembeli yang menggunakan slip bayaran cek terapung, apabila paparan akaun menunjukkan wang seolah-olah sudah masuk sebelum jumlah itu ditarik semula selepas cek tidak dijelaskan.

“Syarikat telekomunikasi perlu dikenakan penalti maksimum sekiranya gagal memastikan pendaftaran talian dibuat secara sah, selain menyediakan mekanisme pampasan kepada mangsa yang terkesan akibat kecuaian sistem,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN