BATU KAWAN : Pulau Pinang berpotensi untuk mengekalkan statusnya sebagai hab utama bagi inovasi penjagaan kesihatan serta pertumbuhan serantau di wilayah utara Semenanjung menerusi projek pembangunan hospital seperti Columbia Asia Hospital Batu Kawan.
Pada masa yang sama, pembangunan hospital itu juga dijangka memperkukuhkan profil Bandar Cassia dan Batu Kawan sebagai pusat yang sedang berkembang bagi penjagaan kesihatan, pelaburan perubatan serta perkhidmatan kesejahteraan.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, sektor penjagaan kesihatan di Pulau Pinang kini merupakan salah satu kisah kejayaan terbesar negeri ini kerana ia telah menerima kira-kira 513,000 pelancong kesihatan sepanjang tahun lepas.
“Menurut Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia (Malaysia Healthcare Travel Council) pula, Pulau Pinang turut mencatatkan kira-kira RM1.14 bilion hasil pelancongan kesihatan pada 2025 dan menyumbang sekitar 51 peratus daripada jumlah hasil pelancongan kesihatan negara untuk tahun yang sama.
“Angka-angka ini mewakili lebih daripada sekadar sumbangan ekonomi kerana ia mencerminkan kepercayaan yang diberikan terhadap ekosistem penjagaan kesihatan kita, hospital-hospital kita, para profesional perubatan kita serta kualiti rawatan yang terus diberikan oleh Pulau Pinang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena majlis pelancaran Columbia Asia Hospital Batu Kawan yang turut dihadiri oleh Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Asia OneHealthcare, Dr. Chan Boon Kheng dan Ketua Pegawai Eksekutif hopsital itu, Mohd. Shafee Awang.
Untuk rekod, Hospital Columbia Asia Batu Kawan yang dibangunkan di atas tanah berkeluasan kira-kira 431,000 kaki persegi itu merupakan cawangan ke-13 bagi pembinaan hospital tersebut di Malaysia dan yang ke-19 di Asia Tenggara.
Mula beroperasi sejak Julai tahun lepas, hospital itu dilengkapi dengan sekurang-kurangnya 21 klinik pakar, lima dewan bedah, enam bilik bersalin, 213 katil wad, pelbagai peralatan berteknologi tinggi termasuk imbasan CT 160-slice serta mesin MRI 1.5 Tesla dan sebagainya.
Dalam pada itu, Mohd. Shafee berkata, bersempena dengan pelancaran hospital berkenaan, pihaknya menawarkan pelbagai pakej penjagaan kesihatan termasuk potongan harga sehingga 50 peratus bagi pakej saringan kesihatan asas serta beberapa pemeriksaan kesihatan lain.
“Di Columbia Asia Hospital Batu Kawan, keutamaan kami ialah untuk memberikan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang komprehensif kepada seluruh komuniti di sini apatah lagi kami juga akan menyambut ulang tahun ke-30 pada tahun ini,” ujarnya.-UTUSAN










