KOTA KINABALU: Bangkai seekor gajah Pygmy Borneo dengan sebahagian kepala dan gadingnya hilang ditemui dalam kawasan ladang berhampiran Hutan Simpan Sungai Pinangah, Tongod, dekat sini, pagi semalam.
Bangkai haiwan berkenaan yang disyaki sengaja dibunuh untuk mendapatkan gadingnya ditemui kakitangan ladang kira-kira jam 6.30 pagi semalam, sebelum melaporkan kejadian itu kepada Jabatan Hidupan Liar (JHL).
Dalam kejadian itu, kakitangan ladang melaporkan terdengar bunyi letupan yang kuat pada malam sebelum kejadian, namun pemeriksaan hanya dilakukan keesokan harinya susulan kejadian hujan lebat.
Pemeriksaan lanjut anggota JHL di lapangan mendapati gajah jantan dengan ketinggian 2.9 meter, manakala bahagian muka dan mulut dipercayai dipotong dengan peralatan tajam.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, beliau dimaklumkan setakat ini tiada kesan tembakan ditemui pada bahagian badan gajah, namun pemeriksaan penuh masih dijalankan.
Katanya, hujan lebat juga dipercayai berlaku ketika kejadian sekaligus menyukarkan pihak JHL untuk mengenal pasti kesan tapak dan bukti di lokasi kejadian.
“Bedah siasat ke atas bangkai gajah masih dijalankan oleh JHL.
“Saya sudah meminta JHL untuk segera menjalankan siasatan terperinci, memperkukuh operasi penguatkuasaan dan rondaan, meneruskan kerjasama dengan polis serta meningkatkan pemantauan di koridor pergerakan hidupan liar dan kawasan berisiko tinggi,” katanya.
Jafry berkata, tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab jika siasatan mengesahkan pembabitan aktiviti pemburuan haram, pengambilan gading secara haram atau kesalahan lain berkaitan hidupan liar.
“Kementerian tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk jenayah hidupan liar dan akan terus memperkukuh kerjasama dengan agensi penguatkuasaan serta pihak berkepentingan bagi memastikan perlindungan lebih kukuh terhadap hidupan liar ikonik di negeri ini.
“Kita tidak boleh membiarkan Sabah menjadi tempat berlakunya jenayah hidupan liar. Setiap kehilangan spesies yang dilindungi adalah kehilangan kepada warisan semula jadi dan masa depan biodiversiti,” katanya. – UTUSAN









