4 maut dalam protes harga minyak naik hingga pengangkutan awam lumpuh - Utusan Malaysia

4 maut dalam protes harga minyak naik hingga pengangkutan awam lumpuh

Polis mara ke arah sekumpulan penunjuk perasaan di sepanjang Jalan Namanga di Kitengela semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NAIROBI: Sekurang-kurangnya empat rakyat Kenya maut manakala 30 lagi cedera dalam protes besar-besaran membantah kenaikan harga bahan api pada Isnin, yang turut menyaksikan sistem pengangkutan awam negara itu lumpuh sepenuhnya.

Sebagai negara Afrika yang bergantung kepada import bahan api dari rantau Teluk, Kenya terkesan teruk ekoran tindakan Iran menutup Selat Hormuz, laluan maritim strategik yang menyaksikan satu perlima bekalan minyak dunia melaluinya.

Krisis bermula selepas kerajaan Kenya mengumumkan kenaikan harga runcit ekoran lonjakan harga minyak global, termasuk peningkatan mendadak 23.5 peratus bagi diesel, sehingga mencetuskan mogok pekerja sektor pengangkutan.

Tinjauan AFP mendapati penunjuk perasaan bertindak menyekat laluan utama dan membakar unggun api di pinggir ibu negara, Nairobi bagi menghalang pergerakan kenderaan awam dan motosikal komersial.

Menteri Dalam Negeri, Kipchumba Murkomen melahirkan rasa kesal atas kehilangan nyawa tersebut namun mendakwa terdapat elemen jenayah dan politik yang mengeksploitasi protes itu demi agenda peribadi.

Pihak berkuasa setakat ini telah menahan seramai 348 individu yang terlibat dalam kekecohan itu manakala semua sekatan jalan raya dilaporkan telah dialihkan sepenuhnya oleh pasukan keselamatan.

Tindakan keras pihak polis bagaimanapun menerima kecaman hebat daripada kumpulan hak asasi manusia tempatan, Vocal Africa, yang mengutuk sekeras-kerasnya penggunaan senjata api  ke atas rakyat yang berhimpun.

Impak mogok tersebut menyebabkan pusat perniagaan Nairobi lengang ekoran penutupan sekolah, selain ribuan komuter terkandas selepas van mini persendirian yang menjadi nadi pengangkutan utama enggan beroperasi.

Selain Nairobi, protes dilaporkan merebak ke bandar besar lain seperti Mombasa, Nakuru, Eldoret dan Nyeri, mencerminkan kemarahan rakyat yang menyifatkan kos sara hidup kini sudah berada pada tahap tidak mampan.

Menteri Perbendaharaan, John Mbadi mempertahankan tindakan kerajaan dengan menyatakan krisis ekonomi ini berpunca daripada konflik perang di Asia Barat yang berada di luar kawalan pentadbiran negara.

Pakar ekonomi, XN Iraki, menganggarkan mogok sehari itu merugikan ekonomi Kenya sekitar 50 bilion shilling (RM1.5 bilion) sehari, lalu dengan menggesa kerajaan mengurangkan kadar cukai bahan api bagi meringankan bebanan domestik.

Meskipun Kenya dikategorikan antara kuasa ekonomi paling dinamik di Afrika Timur, krisis geopolitik global ini terus menekan negara tersebut yang mana satu per tiga daripada 50 juta rakyatnya masih hidup di bawah garis kemiskinan. -AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN