TANJUNG MALIM: “Dengan apa yang berlaku, sudah tentu saya ingat kejadian ini pada setiap kali Aidiladha. Angah tetap akan hidup dalam hati kami.
“Angah anak yang terbaik untuk kami. Saya dan isteri saya menjadi saksi, Angah adalah anak yang terbaik untuk kami.”
Itu kata Azizul Abdul Aziz, 48, bapa kepada Allahyarham Nur Izzati Humaira, remaja perempuan 19 tahun yang ditemukan meninggal dunia semalam selepas hilang sejak Sabtu lalu ketika mendaki di Bukit Changkat Asa, Hulu Selangor.
Menurut Azizul, dia reda dengan pemergian anak keduanya itu, Nur Izzati atau lebih mesra dengan panggilan Angah apatah lagi ketika umat Islam menyambut hari raya Aidiladha hari ini.
“Angah anak yang terbaik, Insya-Allah bermainlah di taman-taman syurga Angah,” katanya ketika ditemui pemberita pada pengebumian anaknya di Tanah Perkuburan Islam Felda Trolak Utara, Sungkai, di sini hari ini.
Azizul turut memohon maaf kepada semua pihak sekiranya terdapat kesalahan melibatkan keluarganya.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang sentiasa mendoakan anak saya sepanjang kehilangannya.
“Saya pun cemburu dengan anak saya. Amalan apa yang dibuat, satu Malaysia mendoakan, memberikan ucapan yang positif. Terima kasih semua,” katanya.
Azizul turut berharap agar orang ramai teruskan berdoa selain tidak menyebarkan spekulasi yang tidak sepatutnya.
“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada agensi-agensi yang memberikan sokongan dan bantuan untuk proses mencari dan menyelamat terutamanya Majlis Daerah Hulu Selangor, bomba, polis dan APM.
“Terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang saya rasa kehilangan ini menyatukan kita. Saya ditegur sapa oleh orang dari Johor, Pulau Pinang yang ingin membantu mencari sehingga terjumpanya anak saya,” katanya.
Sementara itu, jenazah mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Trolak Utara di sini hari ini pada pukul 3.05 pagi.
Terdahulu, kira-kira 50 individu menyertai solat jenazah Allahyarham Nur Izzati Humaira Azizul di Masjid Al-Ridzuaniah Felda Trolak Utara, Sungkai, Tanjung Malim.
Azizul mengimamkan solat jenazah anaknya.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Asisten Komisioner Ibrahim Husin berkata, mangsa ditemukan meninggal dunia oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira satu kilometer dari lokasi Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) pada pukul 11.58 pagi semalam.
Polis mengklasifikasikan kes penemuan Allahyarham sebagai mati mengejut (SDR). – UTUSAN










