Sanusi jemput Akmal Nasrullah lihat juga projek ‘sakit’ Kerajaan Pusat

Sanusi jemput Akmal Nasrullah lihat juga projek ‘sakit’ Kerajaan Pusat

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kementerian Ekonomi terutama menterinya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir diundang ke Kedah untuk meninjau projek tergendala di bawah Kerajaan Persekutuan, selain menumpukan kepada masalah pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Limau dan Bukit Selambau.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, terdapat sekurang-kurangnya lima projek sakit kendalian Kerajaan Persekutuan di negeri itu yang melibatkan kos berbilion ringgit.

Katanya, daripada lima projek LRA di negeri Kedah yang melibatkan peruntukan RM931 juta, hanya dua daripadanya yang berdepan masalah pembinaan termasuk kontraktor di LRA Sungai Limau yang ditamatkan.

“Di Kedah pun ada banyak projek sakit, antaranya Klinik Padang Serai, Rumah Kenangan Bedong, mahkamah di Batu 5, Sik projek Persekutuan yang tak siap, bukan bawah saya. 

“Projek itu sakit, tukar kontraktor tak jalan juga, pergilah melawat wahai Kementerian Ekonomi. Pergi melawat juga projek tebatan banjir Pendang dan Anak Bukit dari 2011 sampai sekarang tak siap. Kenapa tak pergi melawat? Kenapa tak rasa ada tanggungjawab kepada projek-projek ini,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco di sini, hari ini. 

Sabtu lalu, Akmal Nasrullah berkata, Kerajaan Persekutuan terpaksa menyalurkan peruntukan tambahan sekitar RM50 juta bagi memastikan projek pembinaan LRA Sungai Limau yang kini terbengkalai dapat diselamatkan.

Beliau berkata, tempoh siap projek itu juga dijangka memakan masa sehingga tiga tahun setelah proses lantikan kontraktor penyelamat diselesaikan tidak lama lagi, selain Kerajaan Persekutuan terpaksa mengambil alih pengurusan projek itu daripada kerajaan negeri.

Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, kontrak membina LRA Sungai Limau dilakukan secara tender terbuka pada 2020 dengan penilaian menyeluruh dilakukan terhadap syarikat yang dianugerahkan projek itu.

Katanya, selain memiliki lesen G7 yang kepakaran membina fasiliti bekalan air, syarikat terbabit juga mempunyai lesen Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) selain memberikan sebut harga projek itu di bawah harga pasaran.

Beliau turut menafikan mempunyai kaitan langsung dengan syarikat terbabit termasuk dakwaan menerima imbuhan lumayan hasil daripada projek itu.

“Daripada lima projek LRA di Kedah ini, hanya satu yang kita buat secara runding terus iaitu LRA Pelubang kepada Bina Darulaman Berhad (BDB) yang merupakan anak syarikat kerajaan negeri. Perkembangan LRA Pelubang amat baik,  LRA Lubuk Buntar sudah siap dan LRA Jenun Baru akan diserahkan tidak lama lagi.

“Projek yang sudah siap, tiada masalah ada tiga tapi yang tiga ini tak disebut. Yang disebut dua LRA (Sungai Limau dan Bukit Selambau) walaupun banyak kali saya beri penjelasan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN