Tiada projek pembangunan pendidikan 'sakit' di Selangor

Tiada projek pembangunan pendidikan ‘sakit’ di Selangor

WONG Kah Woh ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Negara, di sini hari ini. - JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tiada projek pembangunan pendidikan di Selangor dikategorikan sebagai ‘projek sakit’ setakat ini berdasarkan semakan rekod Kementerian Pendidikan (KPM).

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, sesuatu projek ditakrifkan sebagai projek sakit apabila kemajuan kerja fizikalnya lewat melebihi dua bulan atau 20 peratus berbanding jadual yang ditetapkan dalam kontrak mengikut mana-mana yang berlaku terlebih dahulu.

Katanya, KPM melaksanakan beberapa mekanisme pemantauan bagi memastikan projek pembinaan sekolah baharu dan kerja naik taraf khususnya di kawasan pertumbuhan pesat termasuk di Selangor dapat disiapkan mengikut jadual tanpa diklasifikasikan sebagai projek sakit.

“Dalam usaha menampung pertambahan pelajar di kawasan yang berkembang pesat, pembinaan sebuah sekolah menengah baharu iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Kemuning 2 di Shah Alam telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) Rolling Plan 1 (RP1) 2026.

“Projek itu melibatkan pembinaan 42 bilik darjah serta kemudahan lain mengikut piawaian seperti blok pentadbiran, bengkel elektif, kantin, surau dan dewan sekolah, selain blok Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI). Sekolah ini akan dibina di atas tanah seluas 4.612 hektar,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Tiew Way Keng mengenai mekanisme pemantauan projek sekolah baharu atau kerja naik taraf di kawasan pertumbuhan pesat di Selangor serta langkah melindungi murid daripada ancaman buli siber dan penipuan dalam talian.

Kah Woh berkata, setakat 5 November tahun lalu, Cawangan Kerja Pendidikan Jabatan Kerja Raya (JKR) telah dilantik sebagai pengurus program, manakala kerja awal dan lawatan bersepadu juga telah dilaksanakan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, KPM bersama Kementerian Digital melalui CyberSecurity Malaysia membangunkan Modul Etika Siber Nasional (ESN) bagi menyokong pelaksanaan program CyberSAFE® in Schools yang menyasarkan murid berusia tujuh hingga 17 tahun.

“Modul ini merangkumi enam topik utama iaitu kesihatan dan kesejahteraan digital, fasih digital, adab digital, privasi dan keselamatan digital, hak dan tanggungjawab digital serta perdagangan digital.

“KPM juga sedang merangka Panduan Literasi AI bagi membimbing guru dan murid menggunakan teknologi tersebut secara beretika, termasuk aspek keselamatan data dan integriti akademik yang dijangka dimuktamadkan pada April 2026,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN